MARANG: Jabatan Kesihatan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku dua kes keracunan dan makanan basi melibatkan peniaga bazar Ramadan di negeri ini pada kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejadian tersebut melibatkan masing-masing satu kes di Kuala Terengganu dan Marang .
Menurutnya, walaupun aduan rasmi berhubung kes itu belum diterima namun siasatan perlu dilakukan agar kejadian sama tidak berulang lagi selepas ini .
“Kita ada terima maklumat berlaku kes makanan basi serta keracunan makanan membabitkan juadah dibeli di bazar Ramadan.
“Sehubungan itu, para peniaga diharapkan dapat sediakan juadah yang bukan sahaja bersih tetapi juga tidak jual semula makanan yang tidak habis pada keesokan harinya. Mereka perlu masak, sediakan juadah baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Kampung Binjai Rendah, dekat sini, semalam.
Wan Sukairi menambah, sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan beroperasi di seluruh Terengganu pada tahun ini melibatkan seramai 4,086 peniaga.
Katanya lagi, petugas pihak berkuasa tempatan juga ditempatkan di setiap bazar Ramadan dan sebarang aduan boleh disalurkan pengunjung kepada para petugas.
“Pada masa sama, kesedaran berhubung bahaya pengunaan ubat kot-kot yang digunakan bagi menggantikan lidi juga diberikan penekanan,” ujarnya. – UTUSAN