PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyeru semua institusi pendidikan untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas ketika ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan jika cuaca terlalu panas.
Katanya, perkara itu antara langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangka.
“Langkah itu berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing sebagai mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan sentiasa mengikuti garis panduan yang ditetapkan dan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM berkata, antara langkah pencegahan lain yang perlu diambil ialah memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
Selain itu, memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam.
“Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
“Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman,” katanya.
Pada masa sama, semua pihak perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
Jelasnya, semua insititusi perlu mematuhi saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan.
“KPM prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangka,” katanya. – UTUSAN