Che ruby paku belanda

Che ruby paku belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan main ligat Che Ruby mengangkat dan meletakkan papan-papan telur mentah ke dalam van buruknya. Dia menjadi pelanggan tetap Tauke Lian sekian lama. Tauke Lian sudah semakin tua untuk meneruskan perusahaan pemborong telur. Telur ayam, telur itik, telur puyuh menjadi perniagaan yang diteruskan oleh anaknya. Dia sudah mula goyang kaki di rumah sambil menghisap cerut tembakau Cina.

Kadang-kadang kelihatan Tauke Lian menyentil sireh kalau kehabisan tembakau. Perniagaan telurnya diambil alih oleh Ah Kim anak bujangnya yang sudah terlajak usia. Ah Kim bukan tiada rupa, bukan juga tidak berpelajaran. Dahulu jawatannya tinggi di sebuah bank di ibu negara. Disebabkan mahu menjaga Tauke Lian yang sudah tua dia berhenti kerja lalu meneruskan perniagaan bapanya. Umurnya mencecah 48 tahun tetapi belum bertemu jodoh.

“Eh, Ruby! Lain kali biar aku yang angkat semua telur ni. Tak elok orang perempuan tertonggeng-tonggeng angkat telur.” Pesan Ah Kim sambil mengangkat baki telur ayam yang dibeli oleh Che Ruby.

“Ah, kau lambat! Aku nak cepat. Nak ke ladang herba lagi lepas ni,” balas Che Ruby. Wanita cergas yang kekal molek berbaju kurung Johor berpesak gantung mengesat-ngesat peluhnya dengan hujung tudung bawal.

Mereka berdua sudah lama bersahabat sejak di bangku sekolah menengah. Namun alam pekerjaan memisahkan mereka apabila Ah Kim berhijrah keluar dari kampung. Che Ruby pula kekal berniaga telur pindang warisan keluarganya.

Che Ruby menghulurkan beberapa wang tunai kepada Ah Kim. Begitulah Che Ruby yang tidak pernah berhutang apabila berurus niaga dengan Ah Kim. Che Ruby menunggu lebihan wang. Terkial-kial Ah Kim mencari baki satu ringgit.

“Satu ringgit pun nak kira?”

“Mestilah, duit tetap duit!” Che Ruby meninggalkan Ah Kim menuju ke ladang Wak Kelalen untuk mengambil daun herba ramuan telur pindang.

“Waaak!!!” Jeritan Che Ruby mengundang kejutan Wak Kelalen.

“Apa pasal kau datang hari ini, Ruby? Kan wak dah pesan, lusa baru ada!” Ujar Wak Kelalen dengan telor Jawanya yang pekat.

“Apa bendanya yang lusa baru ada?” Tanya Che Ruby terpinga-pinga.

“Daun bebuas!” Jerit Wak Kelalen. Orang tua berusia 80 tahun itu masih kuat mengusahakan tanaman herba walaupun pendengarannya sedikit kurang. Dia dibantu empat orang pekerja Bangladesh.

“Bila masa wak beritahu saya?” Tergaru-garu kepala Che Ruby mengingati semula pesanan tersebut.

“Wak dah mesej kau tadi,” ujarnya lagi. Telor Jawanya masih pekat. Che Ruby pantas mengeluarkan telefonnya. Dia menggeleng lantas tersenyum sendiri sebaik sahaja membaca mesej itu. Mesej tersebut dihantar dua minit lalu.

“Tak apalah Wak. Mana-mana yang ada, Ruby ambil dulu.” Che Ruby lantas menuju ke bangsal. Kasyem pemuda Bangladesh yang paling rajin membantu Wak Kelalen tersipu-sipu memandang Che Ruby.

“Apa khabar Kasyem?” Che Ruby berbasa-basi. Kasyem tersenyum mengangguk-angguk. Dia sudah empat tahun bekerja dengan Wak Kelalen. Sudah pandai berbahasa Melayu walaupun kadang kala tatabahasanya tonggang terbalik.

“Daun salam, daun jambu, senduduk…,” Che Ruby memeriksa satu persatu guni yang telah dilabelkan dengan nama daun herba tempahannya itu.

“Ini… daun manggis, mengkudu, serai wangi…,” sambung Kasyem. Che Ruby menunjukkan isyarat bagus kepada Kasyem. Kembang hidung Kasyem mendapat pujian daripada Che Ruby. Senyumnya bukan main lama.
“Bebuas belum cukup, kakak. Nanti ada kalu, saya sindiri kasi hantar rumah kakak,” sambung Kasyem lagi. Che Ruby mengangkat tangan memberi isyarat “ok”. Kasyem mengangkat guni-guni itu lalu diletakkan di dalam van buruk Che Ruby.

Seperti biasa usai Kasyem memasukkan guni-guni ke dalam van, dia menunggu pemberian tip. Che Ruby sedia maklum dengan perangai Kasyem. Dia menghulurkan wang kertas dua ringgit kepada Kasyem. Lelaki

Bangladesh berambut keriting itu menggoyang-goyangkan kepalanya. Bersyukur dan akur. Mencium wang kertas itu beberapa kali. Begitulah Che Ruby, tak pernah menghulurkan nilai yang melebihi dua ringgit. Paku Belanda!

Selesai urusan di ladang Wak Kelalen, Che Ruby pulang ke pejabat urusannya. Mak Cik Jeni sedang sibuk menyiapkan ramuan rebusan telur pindang untuk kegunaan esok. Pejabat urusan dan ruang pemprosesan telur pindang dipisahkan dengan jarak beberapa langkah sahaja. Ruang tersebut boleh memuatkan 10 periuk bersaiz 14 gantang.

Proses membuat telur pindang mengambil masa tiga hari tiga malam. Stok ramuan seperti jintan halus, jintan putih, ketumbar, lengkuas dan daun-daun herba yang dibekalkan dari ladang Wak Kelalen akan menjadi ramuan utama. Telur pindang yang telah masak berwarna coklat kehitam-hitaman. Aci Patma pula ligat menyusun telur yang sudah masak ke dalam papan telur. Setiap pagi telur pindang itu akan diedarkan ke kedai-kedai makan sekitar kampung dan pekan yang berhampiran termasuklah di restoran mamak.

Hari itu hari gaji bagi Mak Cik Jeni dan Aci Patma. Gaji mereka diberikan secara tunai pada setiap hujung bulan.

“Bila gaji kami nak dinaikkan, Che Ruby?” Aci Patma berbasa-basi. Che Ruby membega-bega kaca matanya.

“Saya ada menjanjikan kenaikan gajikah, aci?”

“Tak ada…tak ada…,” Aci Patma menggeleng dan menundukkan wajahnya. Sedikit murung dan menyesal dengan pertanyaannya itu.
Mak Cik Jeni mendekati Aci Patma setelah menerima upah mengerjakan telur pindang Che Ruby bagi bulan tersebut. Dia tidak setuju apabila Aci Patma bertanyakan tentang kenaikan gaji kepada Che Ruby walaupun dia faham bahawa Aci Patma memerlukan wang yang lebih untuk membiayai kos perubatannya.
“Kau dah tahu, dia tu kedekut, kenapa kau minta naik gaji?” Aci Patma tidak menjawab. Dia sekadar mengangguk beberapa kali.

“Inovasi! Inovasi! Mesti cuba walaupun mahal,” suaranya bersemangat walaupun kedengaran perlahan.

Che Ruby menarik nafas panjang dan melepaskannya sedikit demi sedikit. Dia tidak suka mengeluh cuma penatnya itu seolah-olah memperlihatkan keluhannya. Dia bingkas bangun melihat telur pindang yang telah siap direbus. Che Ruby menyusun satu persatu 30 butir telur itik ke dalam papan telur untuk dihantar ke rumah Datuk Awang. Pagi itu hanya dia seorang mengerjakan telur pindang. Kali ini dia menggunakan telur itik sebagai ganti telur ayam.

“Saya mahukan kenduri kahwin yang lain daripada lain kerana ini perkahwinan anak saya yang terakhir,” tegas Datuk Awang. Penghulu kampung itu akan mengadakan majlis walimatul urus puteri bongsunya.

Che Ruby memandang Datuk Awang tidak berkerlip. Bimbang sungguh jika inovasi telur pindangnya itu tidak menepati selera penghulu itu. Datin Sal yang duduk diam membelek-belek telur tersebut, menunggu reaksi suaminya. Datuk Awang mengunyah perlahan-lahan menghayati kesedapan telur pindang air tangan Che Ruby.

“Yaaa! Inilah yang dikatakan inovasi!” Ucap Datuk Awang separuh menjerit. Datuk Awang menunjukkan isyarat bagus. Datin Sal mengupas sebiji lagi telur pindang. Telur pindang daripada telur itik itu dibelah dua. Saiznya lebih besar daripada telur ayam. Dia bimbang tidak kehabisan.

“Inilah namanya kecerdasan buatan! Rasanya tetap sama cuma saiz yang berbeza. Eksklusif!” Ujar Datin Sal separuh berbisik. Che Ruby ketawa kecil. Dia berjaya mencuri perhatian dan selera pasangan suami isteri itu dengan telur pindang yang diinovasikannya.
Mereka berbincang lanjut tentang persembahan telur pindang. Datuk Awang mahu menempahnya sebagai cenderamata kepada tetamu. Datin Sal pula berhasrat menjadikannya sebahagian daripada bunga pahar. Perbincangan berlarutan sehingga ke harganya.
“Mahal!!!” Terkejut Datuk Awang dengan sebut harga yang diutarakan oleh Che Ruby. Bahu Datin Sal terjungkit. Che Ruby tersengih-sengih.
Tentulah mahal. Harga telur ayam manakan sama dengan telur itik. Tempoh masa merebusnya juga mengambil masa lebih lama. Ramuannya juga bertambah daripada biasa. Datuk Awang terpegun juga dengan penerangan jujur Che Ruby.
“Muktamadkah harganya ini?”
“Muktamad, Datuk!” tegas wanita 40-an itu menepuk meja. Bisnes tetap bisnes walaupun dengan jiran sekampung. Begitulah Che Ruby. Tiada kompromi tentang harga.
“Paku Belanda!” Sindir Datuk Awang memandang Che Ruby dengan gelak kecil.

***
Ah Kim meletakkan papan telur itik yang terakhir di dalam van buruk Che Ruby. Che Ruby memerhati tingkah Ah Kim. Walaupun mempunyai pekerja, Ah Kim tetap melaksanakan kerja memunggah telur jika pelanggan itu ialah Che Ruby.

“Ruby!” Che Ruby memusingkan badan apabila namanya dipanggil. Lenggongnya terhenti seketika memandang pemilik suara itu. Ah Kim senyum terkeseng-keseng. Che Ruby menyingsing lengan baju, mencekak pinggang.

Lagaknya bukan main garang. Kacamata yang menggelungsur ke bawah dibega-bega, memandang Ah Kim.

“Eeerrr…,” tergagap-gagap Ah Kim mahu memulakan bicara. Berkerut dahi Ruby.

“Bunga raya bunga Cina, sama timbang bunga kemboja; maaflah aku nak tanya, cincin di jari siapa yang punya?” Tersekat-sekat Ah Kim berpantun spontan. Che Ruby terkekeh-kekeh mendengar Ah Kim berpantun. Sudah menjadi kelaziman orang Pontian di kampung itu yang gemar berpantun tidak mengira ras dan agama.

“Keris Kasturi keris pekaka, cincin di jari cincin pusaka,” Che Ruby membalas lalu memasuki van buruknya dan meninggalkan pemuda Tionghua itu dengan raut wajah riang. Hati Ah Kim berbunga-bunga menandakan harapannya masih ada.

***
Langit petang dihiasi bianglala menyambut kehadiran rombongan Datuk Awang di rumah agam Che Ruby. Hujan renyai telah berhenti. Mentari menampakkan senyuman nan ikhlas. Penghulu itu bukan datang sebarang datang. Beliau menjadi wakil kepada keluarga kecil Ah Kim untuk meminang Che Ruby. Abang sulung Che Ruby sebagai wali aqrab menerima peminangan dengan penuh kesyukuran.

“Gagak terbang menyusur rimba, beruk di hutan tergaru-garu; yang meminang umur dah tua, bongkoklah badan menahan rindu.” Mukadimah Datuk Awang penuh dengan adat Melayu. Si abang sulung berjeda seketika sebelum menjawab pantun.

“Elok sungguh memancang tiang, supaya dapat mengampai kain; elok sungguh abang meminang, supaya cepat kasih berjalin.” Para tetamu menunjukkan riak gembira dengan jawapan si abang sulung. Datuk Awang dan rombongannya bersyukur dengan penerimaan keluarga Che Ruby.

“Sebagaimana yang dimohon oleh pihak perempuan, hantarannya sebentuk cincin emas 24 karat bertakhta berlian. Hendaklah dibeli di kedai emas Pak Habib Pontian. Tidak kurang tidak lebih jaraknya dari kediaman kami ini, satu marhalah,” demikianlah keputusan si abang. Datuk Awang mengangguk-angguk, mengusap lembut janggutnya.

“Eeerrr…, harga tak boleh runding lagi?” Bisik Datuk Awang.

“Muktamad, Datuk.”

“Paku Belanda!” Jawab Datuk Awang bercanda disusuli ketawa kecil.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya