BEIJING: Individu yang terlalu terdedah dengan cahaya lampur luar yang terang pada waktu malam berisiko menghidapi serangan strok.
Dapatan itu diperoleh hasil kajian baharu melibatkan 28,300 golongan dewasa yang tinggal di bandar Ningbo di China.
Bandar industri dan pelabuhan utama di pantai timur China itu mempunyai populasi 8.2 juta penduduk.
Penyelidik kajian itu, Dr. Jian-Bing Wang mendapati individu yang terdedah dengan tahap cahaya buatan luar paling tinggi pada waktu malam mempunyai risiko 43 peratus lebih tinggi menghidapi penyakit serebrovaskular, berbanding mereka yang mempunyai tahap pendedahan paling rendah.
Jelasnya, penyakit serebrovaskular termasuk strok dan keadaan lain yang mempengaruhi aliran darah ke otak.
“Kajian kami mencadangkan tahap pendedahan yang lebih tinggi kepada cahaya buatan luar pada waktu malam mungkin menjadi faktor risiko penyakit serebrovaskular.
“Kita perlukan strategi pencegahan lebih efektif bagi mengurangan beban penyakit yang disebabkan oleh faktor cahaya dan udara, lebih-lebih lagi buat masyarakat yang tingal di wilayah paling padat penduduk dan paling tercemar di seluruh dunia,” katanya.
Kajian yang meneroka hubungan antara cahaya pada waktu malam dan kesihatan otak itu diterbitkan dalam jurnal American Heart Association, baru-baru ini.
Wang ialah penyelidik di Jabatan Kesihatan Awam dan Endokrinologi Hospital Kanak-kanak, Sekolah Perubatan Universiti Zhejiang dan Pusat Penyelidikan Klinikal Kebangsaan untuk Kesihatan Kanak-kanak di Hangzhou, China.
Kajian mendapati kira-kira 80 peratus penduduk dunia tinggal dalam persekitaran yang tercemar cahaya.
Pendedahan berterusan kepada cahaya buatan pada waktu malam boleh menyekat pengeluaran melatonin, hormon yang menggalakkan tidur.
“Orang yang kurang tidur, berbanding dengan tidur yang baik, lebih berkemungkinan mengalami kesihatan kardiovaskular yang lebih teruk dari semasa ke semasa.
“Orang ramai, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar, perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan pendedahan itu bagi melindungi diri mereka,” katanya.-AGENSI