BUKIT MERTAJAM : Seorang kanak-kanak lelaki yang menderita kanser neuroblastoma memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM106,772 bagi meneruskan rawatan peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Penyakit Fahrian Faizin Hazman, 6, dikesan selepas perut anak ketiga daripada empat beradik itu ditendang tanpa sengaja oleh abangnya hampir dua tahun lalu.
Difahamkan, pemeriksaan lanjut di klinik mendapati anak kecil itu menghidap kanser neuroblastoma tahap tiga dan kanser terbabit biasanya berlaku pada kanak-kanak disebabkan oleh sel-sel saraf yang belum matang.
Menurut Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau, rawatan yang terbahagi kepada enam peringkat itu perlu dijalankan dengan serta-merta supaya sel kanser tersebut dapat dibendung segera.
“Ibunya mendedahkan bahawa Fahrian Faizin jarang menangis semasa rawatan dan patuh untuk ke hospital malah memiliki semangat yang kuat melawan penyakitnya.
“Dalam tempoh lebih setahun, dia sudah melalui lima peringkat rawatan termasuk beberapa sesi kemoterapi dos tinggi dan rendah serta pembedahan mengeluarkan tumor,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ubat imun bagi rawatan itu diimport dengan kos sangat tinggi sehingga ibu bapa Fahrian ibu kehabisan wang simpanan dalam tempoh dua tahun.
Katanya, bapa kanak-kanak itu, Hazman Hisammuddin, 36, bekerja di pusat servis kereta dengan pendapatan bulanan sekitar RM4,000, manakala ibu, Nur Aishah Zulkiflie, 35, seorang suri rumah.
“Pasangan ini memerlukan bantuan sehingga RM106,772 untuk membeli ubat bagi meneruskan rawatan di peringkat akhir.
“Pasangan ini mempunyai tiga lagi anak iaitu dua lelaki berusia 10 dan 8 tahun serta seorang perempuan berusia setahun. Mereka tinggal bersama datuk dan nenek selain perlu menanggung pelbagai komitmen termasuklah pinjaman kereta,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma bagi rawatan Fahrian Faizin boleh menghubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192 atau layari onehopecharity.org untuk maklumat lanjut. Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Public Bank pertubuhan itu di nombor 3201428817 Kod Swift PBBEMYKL. – UTUSAN