Bubur lambuk air tangan Wira Merah

Bubur lambuk air tangan Wira Merah

Anggota bomba Putrajaya mengacau bubur lambuk pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia bersama Mahsuri Food di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, kelmarin. - FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk tajaan Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. sempena bulan Ramadan diteruskan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan agihan lebih 1,000 pek bubur lambuk kepada anggota serta komuniti di sini, kelmarin.

Ketua Komersial Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat untuk menyantuni masyarakat terutamanya anggota unit beruniform.

Menurutnya, program memasak dan agihan bubur lambuk yang dijalankan itu juga bertujuan untuk meraikan serta menghargai jasa ‘Wira Merah’ yang sentiasa mencurahkan keringat pada saat-saat kecemasan.

“Mahsuri Dagang ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota bomba, kita sentiasa hargai jasa mereka yang bekerja 24 jam untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Program tersebut julung kali diadakan bersama JBPM, pada masa sama kita pun tidak lupakan anggota unit beruniform yang lain, mungkin selepas ini kita akan teruskan kolaborasi bersama kementerian atau agensi-agensi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat JBPM di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Ahmad Tajuddin Idris dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Media Mulia Sdn Bhd, Shereen Wong.

Ahmad Tajuddin Idris (tengah) memasukkan bubur lambuk ke dalam bekas pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Wira Merah di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Bermula sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 4 petang, lebih 1,000 pek bubur lambuk bersama produk keluaran Mahsuri Dagang habis diagihkan kepada anggota bomba serta komuniti setempat di dua lokasi berasingan.

Dalam pada itu, Mohd Jazri berkata, program yang dijalankan itu juga bertujuan memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk yang dikeluarkan oleh Mahsuri Dagang adalah halal dan terjamin kebersihan.

Katanya, antara bahan-bahan yang digunakan untuk penyediaan bubur lambuk adalah sos tiram dan kicap manis pedas Mahsuri.

“Salah satu sebab kita anjurkan program bubur lambuk ini kerana kita mahu beri jaminan kepada semua pengguna bahawa produk Mahsuri adalah halal dan berkualiti tinggi. Sos tiram kita gunakan ekstrak tiram sebenar dan pastinya memudahkan serta mempercepatkan urusan memasak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, beliau terharu dan amat berterima kasih kepada Mahsuri Dagang serta Media Mulia yang sudi berkolaborasi dengan JBPM untuk menaja program agihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan.

“Kolaborasi antara pihak swasta dan kerajaan ini turut menterjemahkan rasa keprihatinan mereka dalam menaja bahan-bahan ramuan untuk menghasilkan makanan kegemaran ramai ketika bulan puasa iaitu bubur lambuk.

“JBPM pula kita sediakan kekuatan anggota bermula dari penyediaan, aktiviti memasak sehingga lah pembungkusan dan agihan melibatkan 1,000 pek bubur,” ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14, Penolong Penguasa Bomba Dianty Hussain pula berkata, penyediaan untuk menghasilkan bubur lambuk itu dijalankan secara aktiviti rewang yang melibatkan kira-kira 20 anggota.

Nor Hisham Mohammad (tujuh kiri) bersama Ahmad Tajuddin Idris (tengah) bersama kakitangan bomba dan Media Mulia pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Wira Merah Mahsuri Food dan Media Mulia di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, kelmarin.

“Kita masak lima periuk besar bubur lambuk sejak pukul 9 pagi dan selesai kira-kira pukul 11 pagi. Selepas itu barulah kita mula membungkus sebelum diagihkan di dua lokasi iaitu Ibu Pejabat JBPM dan Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14.

“Resipi bubur lambuk pula kita guna resipi biasa cuma istimewanya juadah ini kerana ia adalah air tangan Wira Merah atau abang dan kakak bomba,” ujarnya yang merupakan ketua tukang masak bagi program tersebut.

Duta Produk Mahsuri yang juga pelawak, Nabil Ahmad mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Wira Merah di Putrajaya, semalam.

Untuk rekod, Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran bersama Mahsuri Dagang dan Media Mulia sempena bulan Ramadan tahun ini melibatkan tiga lokasi iaitu iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya dan yang terakhir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Semarak, Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN