IPOH: Minat mendalam terhadap bahasa Arab, membuatkan Nurul Afiqah Mohamad Isa bertekad menjadi seorang guru bahasa tersebut yang dituturkan oleh lebih 200 juta penduduk dunia.
Dia yang berusia 20 tahun, kini sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Bahasa Arab Dengan Pendidikan.
Anak Taiping, Perak itu melahirkan rasa syukur apabila menjadi penerima Biasiswa YAB Menteri Besar Perak bagi sekolah menengah sesi 2023/2024 untuk membantu persediaannya memasuki menara gading pada Oktober 2023 lalu.
“Saya memilih meneruskan pengajian dalam bahasa Arab kerana minat saya yang begitu mendalam pada bahasa Arab.
“Selain bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran, ia juga mempunyai keunikan sendiri yang tidak sama dengan bahasa lain. Saya berharap agar saya dapat menggalakkan generasi muda pada masa akan datang untuk mencintai bahasa ini,” katanya.
Pemberiaan biasiswa kepada pelajar itu adalah selari dengan flagship ke-5 dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Pelan itu diterajui oleh Kerajaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk membangunkan negeri tersebut dari segi semua aspek termasuk modal insan.
Afiqah berkata, bantuan itu membantunya menanggung perbelanjaan menyiapkan diri memasuki universiti, memandangkan dia datang daripada sebuah keluarga yang sederhana.
“Biasiswa ini telah membantu saya menghadapi alam pendidikan tinggi dalam menyiapkan kelengkapan belajar seperti buku dan alat tulis, asrama dan wang saku harian.
“Ia juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga saya untuk menampung perbelanjaan saya selama di universiti dan kolej,” katanya.
Dia yang menamatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SABK Maahad Al-Tarbiah Al-Islamiah di Changkat Jering, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak kerana prihatin tentang pelajaran anak muda.
“Perancangan masa depan saya adalah menjadi seorang pendidik yang berwibawa memandangkan sekarang juga saya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya. – UTUSAN