KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini tampil menyokong usaha kerajaan negeri menyertai MATTA Fair 2024 bermula 22 hingga 24 Mac ini di Kuala Lumpur.
Baginda bertitah, semua pemain industri tersebut sama ada di dalam mahupun luar negeri harus menampilkan diri segera untuk bekerjasama dengan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi memberi sokongan padu penyertaan Perlis pada MATTA Fair kali ini.
“Kebersamaan dan kerjasama daripada semua pemain industri amat diperlukan agar penyertaan Perlis pada edisi kali ini menghasilkan impak pada tahap maksima dalam usaha merancakkan lagi promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
“Usaha ini adalah ruang dan peluang kepada pemain industri pelancongan negeri Perlis bagi mengetengahkan segala produk, perniagaan atau perkhidmatan masing-masing khususnya dengan melibatkan pendekatan ‘Sentrik Perlis’ ke satu peringkat yang seterusnya,” titah baginda selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Hotel Borneo Royale, Jalan Kuhara, Tawau, Sabah baru-baru ini.
Keberangkatan baginda ke inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) 2024 itu disambut oleh pengarah operasi hotel tersebut, Kenny Chow dan Chef Eksekutifnya, Harol Joseph Fready Untala.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang Pick Lim, Panglima Briged ke-13 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Hashim Osman dan mantan Komander Rejimen 516 Askar Wataniah, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah.
Dalam perkembangan sama, Perlis buat julung kalinya akan menjayakan kempen ‘Perlis As Favourite Destination’ di MATTA Fair 2024 dengan temanya ‘Perlis Damai Dan Menawan’ pada tahun ini.
Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dijadualkan berangkat ke MATTA Fair kali ini pada 23 Mac ini .
Tuanku Syed Faizuddin turut menjemput para pengunjung meluangkan masa untuk singgah di ruang pameran negeri Perlis di MATTA Fair 2024 di Kompleks Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Dutamas 2, Segambut, Kuala Lumpur.-UTUSAN