JOHOR BAHRU: Seorang bekas bendahari masjid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan wang RM12,000 Masjid Al Ubudiah Kampung Sri Machap, Kluang, dua tahun lalu.
Tertuduh, Syaharullah Ismail, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang milik Masjid di Kampung Sri Machap berjumlah RM12,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.17 malam di sebuah bank di Bangunan Tabung Haji, Jalan Dato’ Kapten Ahmad, pada 12 November 2022.
Mengikut pertuduhan itu, lelaki itu melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Zahida Muhammad Rozi manakala tertuduh diwakili peguam lantikan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi.
Nur Zahida memohon tawaran jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Kluang sekali sebulan.
Bharathi dalam rayuannya memohon jaminan RM5,000 terhadap anak guamnya memandangkan pendapatannya tidak menentu kira-kira RM1,500 manakala isterinya bekerja sebagai guru dan mempunyai tiga anak berusia 13 hingga empat tahun yang bersekolah.
Hakim membenarkan pemandu lori itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Kluang sebulan sekali. Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. – UTUSAN