ARAU: Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini mengambil pendekatan cukup unik dengan menjemput bekas-bekas guru besar sekolah tersebut dari tahun 1990-an lagi bagi menyambut kedatangan murid-murid sempena hari pertama sesi persekolahan, semalam.
Bekas guru besar berkenaan dan para guru menunggu di pintu pagar sekolah itu dengan segak bertanjak dan berpakaian tradisional menyambut kedatangan murid.
Lebih istimewa, guru-guru berkenaan juga memakai tengkolok rasmi Perlis yang diberi nama Putra Julang Darjat sebagai simbolik taat setia kepada raja serta identiti negeri.
Menariknya, pendekatan menjemput bekas-bekas guru besar bagi menyambut kedatangan murid sempena sesi persekolahan itu juga adalah pertama kali di negeri ini.
Antara bekas guru besar yang hadir ialah Syarif Morad; Wan Kamardin Wan Ahmad; Kholim Yob; Muhamad Noor Che Omar; Rosle Ishak dan beberapa lagi.
Dalam pada itu, murid-murid khususnya darjah satu antaranya kelihatan cukup teruja dan ceria memulakan sesi persekolahan tersebut selain tidak kekok bergaul bersama rakan-rakan baru di kelas masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar STB, Nor Zaiton Ibrahim berkata, sempena sesi pembukaan sekolah tersebut, pihaknya menjemput alumni pentaddiran sekolah berkenaan membabitkan tujuh bekas guru besar dari tahun 1995 hingga 2021.
Katanya, jemputan tersebut juga bagi menghargai jasa mereka yang pernah bersama-bersama memajukan sekolah berusia 130 tahun itu.
“Tema kita juga agak unik dan menarik iaitu memperkenalkan warisan di negeri dengan mengenakan pakaian tradisional dan tengkolok Putra Julang Darjat.
“Murid-murid pula kelihatan agak teruja dan ceria sempena hari pertama sesi persekolahan ini,” katanya yang juga merupakan Guru Besar wanita pertama STB.
Sementara itu, Nor Zaiton berkata, seramai 155 murid darjah satu di sekolah berkenaan dengan keseluruhan murid pula sebanyak 960 orang.-UTUSAN