IPOH: Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) Meru di sini mencuri tumpuan sebagai bazar Ramadan yang terpanjang di Perak iaitu sepanjang 500 meter.
Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Nurdita Fadzlinda berkata, bazar Ramadan itu membuka ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menyajikan aneka jenis kuih, lauk-pauk dan minuman sebagai pilihan juadah berbuka puasa.
Menurutnya, bazar Ramadan itu menjadi lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai.
“Tahun lalu PKNPk melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan ini dan berjaya menarik 50,000 pengunjung.
“Berikutan itu, tahun ini ia dianjurkan sepenuhnya oleh PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran. PKNPk membuat beberapa penambahbaikan kepada kemudahan bagi memastikan keselesaan kepada para pengunjung bazar.
“Kami turut memastikan kebersihan makanan diutamakan dan pemilihan peniaga turut diberi perhatian rapi agar kepelbagaian dan kualiti juadah terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Nurdita Fadzlinda, pihaknya menyediakan ruang lebih luas kepada peniaga dengan saiz 10 kaki x 20 kaki dengan kadar sewa antara RM1,500 hingga RM2,500.
Katanya, inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui Perak Sejahtera 2030 bagi memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan
“Susun atur bazar pada tahun ini juga lebih selesa untuk para pengunjung khususnya laluan pejalan kaki yang lebih lebar.
“PKNPk juga memastikan kemudahan parkir mencukupi untuk orang ramai dengan menyediakan parkir tambahan yang terletak bersebelahan Menara A PKNPk dan di kawasan Rumah Tradisional Melayu (RTM,” katanya.
Nurdita Fadzlinda berkata, PKNPk sentiasa memastikan aspek kebersihan di tapak bazar Ramadan berada dalam keadaan baik dan sempurna pada setiap masa.
Ujarnya, pihaknya melantik syarikat kontraktor bagi mengendalikan kerja-kerja kebersihan dan pengurusan sampah sepanjang bazar Ramadan itu dibuka.
Di Bulatan Sultan Azlan Shah juga terdapat aktiviti dan permainan seperti paddlers, go-kart dan soopa doopa yang beroperasi seperti biasa di sepanjang bulan Ramadan. –UTUSAN