AW wajar bantu laksana operasi teras ATM - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

AW wajar bantu laksana operasi teras ATM – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertanya khabar kepada anggota Rejimen Sempadan TDM yang bertugas di Pulau Denawan di Semporna semalam. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Askar Wataniah (AW) wajar dipertimbang untuk turut serta di dalam membantu anggota tetap melaksanakan operasi teras untuk mengawal persempadanan negara.

Raja Muda Perlis, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sewajarnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) mengkaji dan meneliti semula segala seksyen sedia ada bagi membolehkan penglibatan pasukan simpanan dalam operasi teras bersama-sama anggota tetap.

Titah baginda, negara saban tahun telah melahirkan ribuan anggota simpanan dalam angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM), namun sejauh mana penglibatan mereka dibenarkan dalam membantu sebagai pasukan benteng pertahanan kedua negara.

“Anggota sukarela telah dilatih dan terlibat di dalam pelbagai eksesais tempatan serta bilateral bersama anggota tetap malah telah teruji kompetensi mereka dan mampu untuk melaksanakan tugas mahupun peranan seperti anggota tetap.

“Adalah menjadi satu kerugian buat negara jika hanya melatih AW semata-mata tanpa ada sebarang perancangan jangka panjang untuk mengaturgerakkan mereka membantu mengawal persempadanan negara dan tidak tertakluk hanya jika negara berada dalam situasi darurat atau dilanda bencana alam sahaja,” titah baginda.

Demikian titah saranan Tuanku Syed Faizuddin selepas berkenan berangkat mengetuai Eksesais PERBAH 2024 Sektor Selatan di Timur Laut Sabah.

Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri Perlis tersebut adalah bersama dengan Rejimen 504AW, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Ia mendapat kerjasama padu daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi negeri dan Persekutuan dari Perlis dan Sabah selain pihak swasta.

Pulau-pulau yang dikunjungi Tuanku Syed Faizuddin pada kali ini termasuklah Pulau Danawan dan Pulau Pandanan iaitu Pos Keselamatan TDM, Pulau Mataking yang merupakan pos gabungan TDM dan PDRM, serta Pulau Bohey Dulang yang terletaknya Pos Keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Hadir sama mengiringi baginda adalah Panglima Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin, Panglima Briged ke-13 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Hashim Osman dan Timbalan Komander ESSCOM, Brigedier Jeneral Roslan Mat Saad.

Tuanku Faizuddin juga merangkap Komander Rejimen 504AW yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri Perlis juga menyarankan agar kepelbagaian bentuk latihan bersesuaian dengan jenis aturgerak yang dirancang serta keperluan penglibatan AW dalam situasi darurat negara turut perlu dikaji semula dari semasa ke semasa.

Titah baginda, langkah itu sebagai langkah untuk menarik lebih ramai rakyat bagi menyertai AW berkonsepkan keselamatan negara kita jaga dan kita pelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya