KUALA LUMPUR: Pelakon, Mia Sara mengambil pendekatan untuk reda dan berlapang dada dengan perceraian ibu bapanya yang berlaku sejak dua tahun lalu.
Kata Anak pelakon Afdlin Shauki ini, dia menerima ketentuan tersebut dari sudut positif asalkan kedua orang tuanya gembira dengan haluan masing-masing.
“Tak timbul sebarang isu selepas mereka bercerai. Bahkan saya okey.
“Asalkan mereka gembira dan bahagia membawa haluan masing-masing.
“Saya dan adik beradik lain juga terima dengan hati terbuka. Mungkin sebab sejak kecil kami diajar untuk mendahulukan kebahagiaan orang lain,” katanya.
Afdlin dan bekas isterinya, Maria Christina Orow berpisah pada April 2022 selepas 25 tahun bergelar suami isteri.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata termasuk Mia, Anais dan Ileana Matin.
Afdlin bagaimanapun menamatkan zaman dudanya Ogos tahun lalu apabila berkahwin dengan pengurusnya, Marcella.
Kata Mia lagi, ibu bapanya telah memaklumkan anak-anak tentang keputusan mereka itu sebelum berpisah.
“Mereka telah panggil kami adik beradik duduk semeja untuk berbincang tentang perkara itu sebelum bercerai.
“Saya akui ada fasa ketika saya menangis kerana mereka berpisah. Tapi itu perkara normal dan sebahagian proses untuk reda menerima perceraian.
“Tapi Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Malah ketika ayah saya berkahwin lagi, tidak ada isu yang timbul dan kami terima dengan berlapang dada,” kongsinya.