PETALING JAYA: Pelakon, Angeline Tan, 57, mendedahkan semakin kurang menerima tawaran berlakon dari mana-mana syarikat produksi dan stesen televisyen selepas memeluk Islam.
Kata Angeline, meskipun sedih dengan keadaan itu, dia yakin dengan rezeki lebih baik yang Allah S.W.T akan hadirkan untuknya di masa akan datang.
“Kali terakhir saya ditawarkan berlakon adalah menerusi drama Jangan Lupa Janji arahan Michael Ang. Selepas itu, tak ada satu tawaran pun yang saya terima.
“Tentunya saya sedih dengan keadaan ini kerana lakonan adalah punca pendapatan, hobi dan minat saya.
“Apa pun saya tahu Tuhan tidak kejam, berserah sahaja kepada-Nya. Tak apalah, kita hanya mampu berharap,” kongsinya.
Angeline atau nama Islamnya, Ardini sah bergelar isteri kepada pelakon, Sabri Yunus dalam majlis pernikahan yang diadakan pada 14 Oktober lepas di Perlis.
Dalam masa yang sama, Angeline memaklumkan melalui pengalaman sama dengan pelakon mualaf lain yang kurang menerima tawaran berlakon selepas memeluk Islam.
“Contoh pelakon seperti Chew Kin Wah dan Jesse Lim yang digugurkan daripada membintangi sebuah drama atas sebab pelakon Muslim tidak dibenarkan berlakon sebagai bukan Islam.
“Saya juga pernah katakan kepada suami bahawa mungkin kerjaya lakonan saya juga perlahan selepas bergelar isteri.
“Tapi saya yakin ada rezeki lain yang Allah aturkan untuk saya,” jelasnya.