KUALA LUMPUR: Ikon feysen, Fyza Kadir menyifatkan keputusannya meninggalkan dunia lakonan tujuh tahun lalu sebagai tindakan yang betul.
Gadis tinggi lampai berusia 28 tahun ini memaklumkan perkara itu kerana dia sedar dirinya tidak berbakat justeru enggan menghampakan penonton yang menonton lakonannya.
“Saya seorang pemalu dan tak berbakat dalam dunia lakonan. Namun tujuh tahun lalu saya cuba berlakon selepas dipujuk penerbit, David Teo.
“Dalam satu tahun saya berlakon beberapa filem, antaranya Satu Lawan Satu. Saya tetap cuba walaupun hati tak membenarkan. Setiap kali selepas menjayakan satu-satu babak, saya menangis disebabkan takut dan tak yakin.
“Saya seorang yang pemalu, kekok berlakon depan ramai orang. Suara pun tak kedengaran ketika berdialog. Dalam tahun sama saya berkahwin, ketika saya mengumpul sedikit keyakinan untuk berlakon. Tapi akhirnya saya memilih untuk berhenti,” katanya.
Kata Fyza dia tidak kecewa dengan keputusannya itu malah bersyukur kerana telah membuat tindakan yang betul.
“Saya simpati dengan artis sekarang kerana terpaksa berdepan kecaman masyarakat. Sebab itu saya lega tak jadi pelakon.
“Dan saya tahu saya tak berbakat walaupun tujuh tahun lalu David mengatakan saya boleh ‘jual’ dan punya tarikan,” luahnya.