KUALA LUMPUR: Kemenangan Hasrat ciptaan sepenuhnya penyanyi, Amir Jahari adalah kerana lagu tersebut mempunyai major lagu yang sangat berkualiti dan tampil dengan jiwa yang berbeza daripada 11 lagu lain.
Ketua Juri Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38), Datuk Mokhzani Ismail berkata, Hasrat mempunyai garapan lirik dan kekuatan melodi yang berbeza daripada karya lain yang bertanding.
“Melodi, nada, lirik dan semua perkara akan diambil kira dalam lagu tersebut. Tiga lagu yang menang juri pilih adalah lagu yang terbaik di antara 12 karya yang terbaik.
“Mencipta lagu, perkara yang paling susah adalah bahagian major dalam lagu dan Hasrat mempunyai major lagu yang sangat berkualiti. Kalau dengar akan terngiang-ngiang.
“Namun bukan bermakna lagu lain tidak berkualiti, tetapi karya Amir sangat berbeza. Lagu itu mungkin senang untuk dinyanyikan, tetapi bila ada garapan lirik yang baik ditambah pula dengan orkestra yang hebat, oleh itu juri sepakat pilih Hasrat sebagai juara,” ujarnya.
Mokhzani berkata demikian dalam sesi sidang media sejurus AJL 38 melabuhkan tirai di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Hasrat berjaya menewaskan 11 lagu lain dalam pertandingan lagu berprestij yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Tempat kedua pula diraih oleh lagu Sutera ciptaan dan lirik Aisha Retno dan MFMF manakala tempat ketiga dimiliki oleh lagu Jangan Mati Rasa Itu ciptaan sepenuhnya penyanyi, Aina Abdul.
Sementara itu, ditanya tentang perbezaan markah, Mokhzani berkata, Hasrat dan Sutera tidak mempunyai jurang penjurian yang besar.
“Kalau ikutkan markah, perbezaan lagu Hasrat dan Sutera tidak begitu jauh. Sutera adalah sebuah lagu bergenre EDM (Electric Dance Music) yang bagus. Sesuatu suntikan baharu buat industri muzik kita.
“Tetapi untuk lagu Jangan Mati Rasa Itu, jurang markah antara Hasrat dan Sutera agak jauh. Tetapi kehebatan Aina tidak disangkal lagi. Sudah pasti Aina datang dalam satu pakej,” katanya.-UTUSAN