KUALA LUMPUR: Usaha untuk memastikan taraf ekonomi bumiputera dapat ditingkatkan dan diperbaiki merupakan perkara yang penting dan pada masa sama ia juga memberi manfaat kepada komuniti masyarakat yang lain.
Oleh kerana itu, lebih 80 resolusi yang digariskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) sebagai panduan itu perlu dilaksanakan dengan baik kerana ia turut mempunyai kesan limpahan lain selain memperkasa bumiputera.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, selagi mana 80 resolusi KEB 2024 itu dapat dilaksanakan dengan baik maka ia akan membawa kesan menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Apabila taraf ekonomi bumiputera meningkat maka mereka akan menjadi pengguna yang mana ia akan melibatkan komuniti bukan bumiputera yang menjadi pembekal. Ini bermakna sebagai contoh jika orang Cina mempunyai kedai runcit, mereka boleh meningkatkan hasil jualan dan peguam India pula akan mendapat lebih banyak pelanggan.
“Jadi bagi saya sekiranya 80 resolusi tersebut dilakukan dengan baik tanpa ketirisan atau salah guna kuasa maka ia akan memberi manfaat yang baik kepada semua rakyat negara ini secara tidak langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan, 80 resolusi tersebut diperoleh menerusi libat urus dikendalikan 10 kluster mencakupi pelbagai aspek yang dibentangkan selama tiga hari berlangsungnya kongres itu.
Ia membabitkan aspek pendidikan, industri halal, penguasaan teknologi baharu yang bernilai tinggi dan turut memberi fokus khas kepada bumiputera di Sabah, Sarawak serta masyarakat Orang Asli.
Selain pendidikan, KEB 2024 turut memberi fokus kepada bumiputera Sabah, Sarawak, serta masyarakat Orang Asli, industri halal, penguasaan teknologi baharu dan bernilai tinggi.
Mengulas lanjut, Wong berkata, kesan pelaksanaan resolusi tersebut dapat dilihat dalam jangka masa enam ke satu tahun akan datang yang mana ia diyakini mempunyai sifat inklusif seperti mana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sendiri hadir ke kongres tersebut, ia mempunyai suasana yang baik iaitu saya merasakan ia lebih inklusif tetapi untuk melihat hasil daripada KEB 2024 itu peril tunggu untuk enam ke setahun iaitu apabila implementasi program-program dilakukan.
“Saya turut merasakan penerimaan KEB 2024 dalam kalangan orang Cina dan India berada di tahap yang baik,” jelasnya.
Beliau berkata, prinsip kerajaan Madani kini bukan hanya berdasarkan kaum semata-mata tetapi berdasarkan kesejahteraan rakyat yang mana siapa sahaja berada di kumpulan miskin akan dibantu.
Jelasnya, satu kesefahaman yang mendalam diperlukan di antara semua kumpulan masyarakat iaitu sistem ekonomi negara memerlukan asas kesaksamaan kepada semua.
“Jadi kalau program seperti KEB ini hanya menghasilkan golongan elit bumiputera dan setiap tahun kita tolong mereka dengan saham dan sebagainya tetapi kelebihan itu tidak disalurkan kepada golongan pertengahan atau sederhana maka itu akan membawa masalah besar.
“Bagi saya, program seperti KEB ini tidak akan menggugat siapa-siapa pun tidak kira bangsa dan sebagainya selagi ia memberi fokus kepada membantu golongan paling susah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya fokus dialihkan daripada golongan elit kaya kepada golongan sasar yang lebih memerlukan perhatian dan bantuan daripada pihak kerajaan.
“Kita perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk membasmi kemiskinan dan B40 bumiputera memang sepatutnya perlu fokus utama.
“Saya faham bahawa kita mahukan lebih banyak jutawan daripada kalangan Melayu tetapi sebenarnya tidak kira jutawan dari kalangan Cina atau India, mereka tidak ada masalah sebab tetap boleh bersaing.
“Kita seharusnya memberi promosi percuma mengenai jalan untuk menjadikan diri itu jutawan dan ia terpulang kepada cara mereka bekerja sama ada rajin, pandai berjimat dan sebagainya.
“Kita perlu pastikan mereka yang berada di kelas B40 dapat naik ke kumpulan pendapatan pertengahan dan yang pertengahan pula kita perlu tolong mereka untuk dapat naik ke kumpulan lebih tinggi serta menjadi lebih profesional,” jelasnya.
Beliau percaya bahawa usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar dapat dilakukan sekiranya fokus KEB mencapai sebanyak 70 peratus kepada golongan miskin bumipiutera.
Tambahnya, golongan bukan bumiputera mempunyai harapan bahawa sistem daripada KEB tidak akan menimbulkan golongan elit yang terlalu kaya sehingga menyebabkan jurang pendapatan semakin besar. – UTUSAN