Wulan Guritno lebih jahat, kejam dalam Trinil: Kembalikan Tubuhku - Utusan Malaysia

Wulan Guritno lebih jahat, kejam dalam Trinil: Kembalikan Tubuhku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM seram, Trinil: Kembalikan Tubuhku menyaksikan persembahan hebat pelakon jelita Indonesia, Wulan Guritno membawakan watak seorang ibu kejam yang tidak berperikemanusiaan.

Kemenjadian pelakon berusia 42 tahun ini menghidupkan karakter bernama Rahayu dalam filem ini selayaknya diberikan pujian. Kematangan persembahannya simbolik kepada pengalaman hampir tiga dekadnya selaku pemain sandiwara.

Trinil: Kembalikan Tubuhku menghadirkan cabaran berbeza kepada Wulan. Kata pelakon kelahiran London, United Kingdom ini, bukan mudah menghidupkan Rahayu yang bertentangan dengan dirinya.

“Sikap Rahayu membenci anak sendiri bukan perilaku wajar. Ibu yang waras tidak bersikap begitu. Mungkin ada masalah atau trauma menjadikannya begitu. 

“Apapun saya berbincang dengan pengarah. Katanya, kejahatan Rahayu harus berlebihan, kejamnya lebih matang. Jadi watak ini saya jayakan dengan teknik lakonan tertentu,” katanya yang ditemui sewaktu sidang akhbar filem itu baru-baru ini.

Trinil: Kembalikan Tubuhku berkisahkan pasangan suami isteri yang memulakan hidup baharu dengan mewarisi ladang teh di Jawa Tengah. Keharmonian rumah tangga mereka digannggu hantu penanggal yang menyimpan dendam.

Filem tersebut diarahkan Hanung Bramantyo yang sebelum ini mengarahkan filem Ayat Ayat Cinta dan Perempuan Berkalung Sorban.

Trinil: Kembalikan Tubuhku turut dibintangi Fattah Amin, Carmela Van Der Kruk, Rangga Natra dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Wulan juga mengakui filem ini antara yang paling mencabar sepanjang kariernya disebabkan jalan cerita yang diadaptasi daripada sebuah drama radio popular  80-an.

“Banyak babak dalam filem ini yang mencabar kekuatan fizikal pelakon. Jalan ceritanya pula tidak sedikitpun diolah. Jadi saya kena fahami penceritaannya dengan betul. 

“Disebabkan ia diadaptasi daripada sebuah drama radio, pelakon harus berimaginasi sendiri untuk menghidupkan watak masing-masing,” kongsinya.

CANTIK CARA WULAN

Pelakon ini sedar pada usia 40-an, kesihatan adalah segala yang diinginkannya. Disebabkan itu Wulan mengamalkan disiplin ketat dengan menjaga pemakanan dan bersenam untuk sihat dan cantik.

Dia sempat berkongsi tips kecantikan, mengamalkan pengambilan jus kunyit setiap pagi selain mengurangkan pengambilan gula.

“Saya perlukan senaman dan tidur mencukupi selain elak makanan dan minuman bergula kerana bahan itu kalau diambil berlebihan membuatkan kita tua sebelum usia,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, tiada pembedahan kosmetik yang diambil pelakon ini, hanya cara semula jadi.  Kata Wulan, dia selesa cara alami dan belum terfikir untuk melakukan kaedah menyakitkan untuk nampak muda dan cantik.

“Saya belum berani ambil kaedah pembedahan atau suntikan botoks dan filler. Tapi saya tak tahu adakah akan melakukannya di masa akan datang.

“Buat masa ini saya selesa dengan cara semula jadi. Teknologi semakin maju, kita tak tahu mungkin nanti ada kaedah baru yang tak menyakitkan dan selamat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya