PUTRAJAYA: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat memerlukan sebuah badan yang mempunyai bidang kuasa lebih luas serta merentasi pelbagai agensi.
Sehubungan itu, Ketua Kluster TVET Pilihan Kerjaya Utama, Datuk Shamsuddin Amran mencadangkan agar kerajaan mewujudkan kementerian khusus bagi perkara tersebut.
“Sudah sampai masanya, Malaysia ada Kementerian TVET yang mampu menyelaras dan memantau semua institusi TVET sedia ada,” katanya pada sesi libat urusan kumpulan itu.
Ketika ini ujarnya yang juga Ketua Operasi Kumpulan Bermaz Auto Berhad, terdapat 12 buah kementerian berbeza dalam menguruskan 1,321 institusi TVET awam dan swasta.
Jumlah berkenaan ujarnya, belum lagi termasuk 24 institusi TVET yang dikendalikan oleh pihak kerajaan negeri di seluruh negara sehingga mencetuskan banyak isu urus tadbir.
Berucap pada slot Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau berkata, senario kini makin kompleks, justeru, kerajaan disarankan lebih serius termasuk merancakkan pembangunan tenaga kerja dan teknousahawan bumiputera.
“Kementerian TVET boleh bekerjasama dengan rakan strategik industri dan mengkaji balik banyak akta lama selain melantik badan kawal selia memantau program TVET,” tegasnya.
Beliau mendakwa, ketika ini sistem sedia ada berfungsi secara ‘in-silo’ dan tiada integrasi, di samping bertindih fungsi pelbagai agensi dan tiada data raya profil yang komprehensif.
Pada masa sama, beliau mahu dasar pengambilan pekerja mahir ditambah baik dengan diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan selain diwujudkan polisi upah yang lebih adil.
Menyentuh pengajian tahfiz TVET pula, Shamsuddin mengesyorkan agar diadakan sebuah badan yang menyelaras program itu sejajar dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.
Ini ujar beliau, termasuk menjenamakan kerjaya lepasan itu sebagai Technofaz bagi melahirkan ramai pakar teknikal dan usahawan berjaya TVET yang juga hafiz al-Quran.
“Mungkin boleh diwujudkan Konsortium Huffaz bagi dibina jaringan ekosistem perniagaan lengkap golongan ini selain dibentuk dana keusahawanan untuk mula bisnes,” jelasnya.
Langkah ini katanya, diyakini mampu menarik ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka melanjutkan pengajian tahfiz untuk memilih prospek kerjaya dalam bidang TVET. – UTUSAN