PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendesak bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membuat permohonan maaf dan memadam semua hantarannya yang didakwa menyindir keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Beliau berkata, Tony Pua dituntut membuat kedua-dua perkara itu atau tindakan undang-undang boleh dikenakan.
Menurutnya, beliau dan seluruh ahli UMNO bersedih dan terkesan dengan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap permohonan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Bagaimanapun kita tetap menghormati keputusan tersebut meskipun hasrat untuk melihat bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan penuh tidak menjadi kenyataan.
“Namun begitu, dalam keadaan UMNO bersedih dengan keputusan tersebut, tindakan Tony Pua yang mengeluarkan kenyataan biadab menerusi beberapa hantaran di Facebook miliknya dengan memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Mohd Najib, jelas sekali menghina sistem perundangan negara.
“Tindakan beliau ini juga seolah-olah cuba meraih publisiti murahan bila mana diri beliau dilihat sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat termasuk ditolak ahli partinya sendiri dan semakin menuju kepada pengakhiran karier politiknya,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ekoran keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028. – UTUSAN