IPOH: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pintu buat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneroka kerjaya dalam bidang yang kurang diceburi, tetapi berpotensi besar.
Antara bidang TVET adalah seperti pemasangan dan penyelenggaraan elektrik, pembaikan dan servis, rekaan grafik, terapi kecantikan, penyediaan dan pembuatan makanan.
J. Shangkari, 24, yang kini bekerja sebagai commis atau pembantu chef berkata, dia menyedari industri makanan terus berkembang maju dan mempunyai pasaran yang besar.
“Sebab itu saya menyertai program seni kulinari di bawah TVET. Saya belajar banyak menu masakan Malaysia dan ia juga memberi saya gaji berpatutan.
“Saya sering mendapat perniagaan katering selepas mengikuti kursus ini selain dapat mengisi masa lapang dan pendapatannya juga baik” katanya yang mengambil Kursus Modular Industri TVET Negeri Perak (Krew Pemprosesan dan Penghidangan Makanan) anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Greenbay Academy.
Kerajaan Perak pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sendiri menjadikan TVET sebagai agenda penting dalam inisiatif Perak Sejahtera 2030 dengan meletakkannya flagship keempat daripada 18 kesemuanya.
Kini, tidak kurang 30 institusi yang menawarkan TVET di Perak, sekali gus meletakkannya sebagai enjin penting dalam melahirkan tenaga berkemahiran teknikal.
Hon Yu Liang, 18, yang mengikuti kursus Pendawaian Elektrik berkata, TVET membolehkannya mendapat pekerjaan dan memperoleh kadar gaji yang baik.
“Saya memilih bidang ini kerana mahu meningkatkan kemahiran dan menguasai bidang teknikal. Rancangan masa depan saya adalah belajar bidang chargeman (penjaga jentera),” katanya.
Pemuda Orang Asli, Suzami Nuza a/p Itam, 24, berkata, dia menjalani kursus terapi kecantikan kuku tangan dan kaki sekali gus membolehkannya mempunyai kemahiran yang boleh diniagakan.
“Rancangan saya adalah mahu meningkatkan lagi usaha mempromosi perniagaan dalam talian. Saya berterima kasih kepada PASAK kerana memperkenalkan TVET untuk kami.
“Dengan TVET, saya mempelajari kemahiran, mendapat pengalaman baharu serta menyerlahkan minat dan bakat untuk berani mencuba karier pilihan sendiri. Cara ini dapat mengembangkan lagi kemajuan diri saya dan orang kampung,” katanya. – UTUSAN