PETALING JAYA: Dasar Pandang ke Timur 2.0 yang memberi perhatian kepada China mampu mengarusperdanakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata, China diterima hari ini sebagai contoh kejayaan dunia moden.
Kata beliau, salah satu bidang kejayaan negara China adalah teknologi dan ketika ini negara itu bukan sahaja dapat menandingi negara-negara maju di Barat, malah lebih maju dan berjaya dalam banyak bidang yang dimulakan dengan latihan TVET.
“Melalui inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), China dapat menguasai pasaran dunia kerana semua sektor di China bertindak sebagai satu perkongsian hinggakan mampu menawarkan latihan TVET percuma kepada dunia termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Justeru, katanya, keazaman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET (MTVET) untuk menghantar pelajar menuntut ilmu kemahiran di China perlu disambut dengan suatu kesedaran dengan hakikat.
Katanya, kejayaan bidang TVET Malaysia bergantung kepada kesanggupan pemain TVET di Malaysia untuk bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa lagi ada batasan dan halangan melibatkan ketidakseragaman 12 kementerian yang melaksanakan TVET.
“Dasar Pandang ke Timur 2.0 yang menekankan TVET ke China juga bakal melahirkan generasi pekerja masa hadapan Malaysia yang bekerja kuat, taat kepada majikan dan organisasi, bekerja dengan disiplin sebagai satu pasukan, berdedikasi serta bermotivasi.
“Kita tidak mempunyai banyak masa untuk disia-siakan. Kalau boleh kita mesti mencari cara singkat bagi mencapai sesuatu melalui peluang yang telah China hidangkan.
“Seperti kata pujangga ‘fools learn from their own mistakes, wise men learn from other people’s mistakes‘, kita harus mempelajari daripada pengalaman orang lain,” katanya. – UTUSAN