Tujuh lagi tahanan lolos ditangkap, baki 31 masih diburu - Utusan Malaysia

Tujuh lagi tahanan lolos ditangkap, baki 31 masih diburu

PATI yang ditahan di ladang sawit Felcra Jalan Karchu, Tapah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Polis berjaya menangkap tujuh lelaki etnik Rohingnya tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor di ladang kelapa sawit Felcra Jalan Kachu di sini kira-kira pukul 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asmawi berkata, setakat ini, seramai 98 tahanan telah berjaya ditangkap dengan 31 orang masih diburu.

“Polis percaya baki tahanan masih di kawasan Tapah dan operasi khas masih diteruskan.

“Mereka (tahanan lolos) tidak mempunyai apa-apa bekalan, jadi mereka ke kawasan berdekatan seperti di hentian rawat dan rehat (R&R) Tapah arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (berhampiran dengan Felcra Jalan Kachu) untuk mencari sumber makanan.

“Saya memuji tindakan orang awam awam yang memberikan makan kepada tahanan dan kemudian segera menelefon polis supaya mereka ditangkap dengan segera,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, tujuh tahanan itu meminta makanan dan minuman daripada penduduk kampung yang bekerja di R&R itu.

Penduduk kampung menggunakan akses jalan kampung itu untuk pergi ke tempat kerja setiap hari.

Mereka terus segera menelefon polis untuk segera menangkap tahanan yang lolos itu.

Selain itu, tahanan lolos itu dikatakan telah menetap selama dua hari di ladang sawit itu dan bertindak memotong dahan kelapa sawit dan menjadikan kain pelekat sebagai alas untuk tidur.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Naim berkata, polis berdepan dengan kesukaran mengesan tahanan lolos itu kerana faktor geografi seperti kawasan bukit-bukau, jalan yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda selain hujan lebat hampir setiap hari.

“Kami juga menghadapi masalah kekurangan maklumat, harap orang ramai menyalurkan maklumat supaya baki tahanan tersebut dapat ditangkap,” katanya.

Operasi bersepadu ini telah memasuki hari ketujuh.

Pihak berkuasa berdepan dengan tugas yang berat untuk mengesan baki tahanan yang lolos itu kerana lokasi depot itu yang strategik berhampiran lebuh raya, ladang kelapa sawit, kampung, kampung Orang Asli dan aliran sungai yang menuju bandar-bandar berdekatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya