Tiada laporan penduduk diugut tahanan lolos - Utusan Malaysia

Tiada laporan penduduk diugut tahanan lolos

MOHD. Naim Asnawi (tengah) melakukan tinjauan Op Kesan menangkap PATI yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di Kampung Sungai Kenoh, Tapah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Tiada laporan polis diterima setakat ini berkaitan ugutan ke atas orang awam oleh tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asnawi berkata, maklumat yang diterima kebanyakannya membabitkan rasa bimbang selepas ternampak pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki ke penempatan mereka.

“Penduduk yang ternampak tahanan lolos ini memasuki penempatan atau kawasan kampung akan memaklumkan kepada polis untuk tindakan segera.

“Setakat ini, tiada maklumat diterima berkaitan ugutan, cuma masyarakat rasa bimbang dengan kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan Op Kesan di Kampung Sungai Kenoh, di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak operasi mengesan kesemua tahanan diaktifkan pada pukul 11.30 malam Khamis lalu, 10 ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) polis digunakan dalam operasi tersebut.

Malah katanya, dua unit dron turut digunakan untuk membuat pemantauan dari udara sekali gus mengesan kedudukan kesemua tahanan.

“Pemantauan oleh Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat membantu khususnya dalam penugasan pada waktu malam di mana kita dapat mengesan tahanan yang melarikan diri.

“Begitu juga bantuan daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang membuat rondaan di udara selain elemen-elemen lain yang berada di daratan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tumpuan pencarian masih di kawasan Bidor dan Tapah namun jika terdapat maklumat di lokasi lain, operasi akan digerakkan ke sana.

“Pada hari ini, pasukan keselamatan berjaya membuat tangkapan ke atas 10 tahanan yang lolos di Kampung Senta menjadikan tangkapan keseluruhan seramai 51 orang,” katanya.

Tambahnya, operasi yang masuk hari keempat itu disertai 253 orang terdiri daripada pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Jabatan Imigresen, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak, Pasukan Gerakan Am (PGA), K9 Bukit Aman dan Unit Dron.

Terdahulu, media melaporkan seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Bagaimanapun, seorang daripada tahanan berkenaan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya