SHAH ALAM: Bekas penyanyi, Mizz Nina secara sah menarik semula tuntutan penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara anak angkatnya iaitu Musa.
Nina yang hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi memaklumkan pertikaian antara pihaknya dengan Noh bagi hak penjagaan kanak-kanak tersebut tidak seharusnya berlaku kerana dia telah disahkan sebagai penjaga tunggal seperti yang dinyatakan dalam dokumen yang dipersetujui antara kedua pihak sebelum ini .
“Saya hadir hari ini untuk menghormati prosedur mahkamah dan untuk mengesahkan kami mempunyai dokumen pengangkatan yang mana tidak tertulis namanya (Noh). Jadi dengan adanya dokumen ini, pertikaian antara saya dan Noh tidak sepatutnya diwujudkan.
“Saya tegaskan tiada lagi pertikaian kerana ini tidak melibatkan hak penjagaan kerana saya mempunyai dokumen pengangkatan (anak) yang lengkap,” katanya.
Nina juga memaklumkan dia menginginkan Musa dibesarkan oleh keluarga yang stabil dalam persekitaran yang sihat.
“Musa ada mama dan baba selain keluarga, jiran dan mereka yang sayangkan dia. Saya mahu dia dibesarkan dalam keadaan yang terbaik,” katanya lagi.
Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44 hadir ditemani Essam Muhammad selain peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan dan Mahmud Abdul Jumaat.
Dalam pada itu, Fakhrul memaklumkan Nina sebagai ibu angkat Musa yang sah. Justeru katanya tiada lagi isu yang perlu dipertikaikan kerana kedua-dua kes tersebut secara rasmi telah ditarik semula di depan hakim.
“Tiada pertikaian termasuklah berkenaan hak lawatan dan sebagainya. Kami sudah tarik balik kedua-dua kes dan mahkamah sudah pun membenarkan perkara itu.
“Hak penjagaan sudah diberikan sepenuhnya kepada Nina jadi tak ada lagi pertikaian. Kes ini membabitkan anak angkat, hak penjagaan pun sudah ditetapkan milik Mizz Nina jadi sebarang permohonan lawatan Musa perlu mendapat kebenarannya,” kongsinya.
Semalam, pihak Nina memutuskan untuk memfailkan penarikan semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara.
Fakhrul Azman Abu Hassan berkata tiada proses sulh yang berlaku semalam dan hari ini pihaknya bersama Mizz Nina hanya mengesahkan penarikan semula kes berkaitan di hadapan hakim.