Teroka jalan berbeza untuk sebar muzik - Utusan Malaysia

Teroka jalan berbeza untuk sebar muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIMOSI membuka langkah sebagai sebuah kugiran dengan bergaya. Saya berani kata, tak banyak kugiran baharu lain yang lebih bergaya daripada mereka. 

Gaya yang saya maksudkan itu ialah pakej. 

Dari segala visual yang digunakan dalam media sosial, atas pentas, lagu debut dengan kolaborasi menggemparkan: Tarimosi tidak masuk dalam lapangan sebagai sebuah kugiran baharu yang tidak tahu apa-apa. 

Malah, mereka seperti sudah tahu semua benda. Mungkin akan ada yang kata, mereka kugiran baharu dengan anggota-anggota yang lama, yang sudah ada pengalaman. 

Tak pelik mereka boleh muncul dengan pakej yang sebegitu lengkap. Betul. Tech (dram) nama besar dalam lapangan seni dan grafik. Ayin (vokal) sudah bersama Tech dalam Carthreena. Jack (gitar) bukan pertama kali menyertai kugiran. Tim (bass) pemuzik sambilan yang sangat berpengalaman. Mal (gitar) masih muda tapi dia juga ada pengalaman dengan kugiran lain. 

Namun, berapa banyak orang lama yang menubuhkan kugiran baharu tetapi masih tampil biasa-biasa? Saya kira banyak. 

Itu yang dihargai tentang Tarimosi. Segala pengalaman anggotanya dikumpul dan diperah untuk membentuk kugiran yang mampu tampil dengan pakej lengkap. 

UNIT PENYELAMAT 

Selepas hampir sejam menemu bual – kemudian tambah dua jam lagi berborak dan bergelak – saya dapat tahu yang banyak haluan Tarimosi, selain karya, diukir oleh Tech. 

Tech dan Ayin selaku anggota yang memulakan Tarimosi menetapkan yang mereka mahu ada persona tersendiri sebagai sebuah kugiran. 

Maka, konsep kugiran sebagai sebuah unit penyelamat auditori (auditory rescue unit) dijelmakan. 

Membentuk persona dan konsisten mempertahankannya bukan asing buat Tech, yang dikenali sebagai ART:TECH dalam komuniti seni. 

Sejak 10 tahun lalu, dia sudah merangkul persona misteri, anonimiti dan gelap dengan wajah yang sentiasa bertopeng secara konsisten. 

“Idea ini datang semasa Covid-19. Kita bergantung dengan sistem kesihatan, semua orang tertekan. Idea itu datang: music is medicine. 

“Aku pun tak pernah ada kugiran yang berkonsep macam ini. Aku rasa rugi kalau tak buat,” kata Tech. 

Konsep muzik sebagai penyembuh dan kugiran sebagai unit penyelamat berkembang dengan lancar selepas itu. 

Dengan konsep itu, mereka nampak kesesuaian untuk menganjurkan gig yang dibiayai awam (crowdfund). 

Mereka juga cocok untuk menggunakan NFT sebagai sumber pendapatan sampingan, bermula dengan pemberian NFT percuma kepada pelanggan. 

JALAN LAIN 

Tech sebagai anggota paling tua sudah ada banyak pengalaman bermain muzik. Antara yang pahit untuk dilalui ialah membuat persembahan tanpa sebarang bayaran atau bayaran yang terlalu rendah. Untuk itu, mereka buat konsep gig yang dibiayai orang ramai. 

“Aku rasa, orang yang datang gig ada saja duit. Katakanlah kalau ada ahli kami kemalangan, kami minta bantuan, akan ada ramai yang bantu. 

“Ideanya dari situ. Mungkin tak ramai tahu tapi banyak gig tak beri bayaran (kepada kugiran). Mungkin ada tetapi kami (sebagai kugiran) tak ada akses untuk data, berapa banyak jualan tiket. 

“Aku nak cuba buat benda yang telus. Berapa banyak kutipan yang kami dapat. Boleh saja buat tiket biasa tapi dengan crowdfund, orang boleh tengok berapa kami dapat untuk setiap gig. Dia paksa aku untuk jadi bertanggungjawab,” jelas Tech. 

Berkenaan NFT pula, ia merupakan usaha Tech untuk mengeksport karya Tarimosi ke luar negara. Sebagai pengkarya yang sudah lama menggunakan teknologi NFT, dia melihat itu cara yang baik untuk mendekati komuniti baharu. 

“Sasaran kami memang komuniti NFT tetapi dalam puluhan ribu orang yang ada, pasti ada beberapa yang memang layan muzik. 

“Lagipun, kami tak keluarkan apa-apa modal,” kata Tech yang menggunakan platform DRiP untuk berkongsi karya gra k dan ilustrasi digital secara percuma kepada pelanggan dari seluruh dunia. 

Kata Tech, DRiP ialah teknologi baharu yang membolehkan mereka berkongsi NFT secara percuma kepada puluhan ribu orang. 

SEBAGAI PENGENALAN 

Pada 2 Februari lalu, Tarimosi melancarkan lagu kedua dalam bentuk video muzik. Selepas 15 hari, tontonannya sudah mencecah 17,000. 

Ini mungkin disebabkan produksi video muzik tersebut yang sangat baik. Lengkap jalan cerita, kualiti penggambaran yang tinggi. 

Cuma, satu hal yang saya tertarik, video muzik itu seperti sebuah pengenalan kepada Tarimosi dan konsep unit penyelamat auditorinya. 

“Tak diniatkan macam itu tapi ia menjadi,” kata Tech yang menulis video muzik WIRES mengikut fahamannya terhadap lirik yang dihasilkan Ayin serta konsep yang dibawa Tarimosi. 

Tarimosi juga kini dalam perancangan untuk melancarkan album mereka yang sudah pun siap dirakam. 

Saya melihat pelancaran album sebagai langkah terakhir Tarimosi untuk betul-betul menempatkan diri dalam barisan kugiran generasi baharu yang perlu diperhati perkembangannya di Malaysia. 

Bukanlah dua lagu dan video muzik tidak cukup, tetapi dengan album (atau apa-apa terbitan bukan single), kekuatan mereka sebagai sebuah unit muzik akan betul-betul diuji. 

Oh ya, saya hanya memetik Tech dalam artikel ini sebab dia paling banyak beri penerangan tentang Tarimosi. Namun, jangan ambil mudah juga anggota yang lain, terutamanya Mal. Dia kelakar. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya