PARIT: Lebih 2.5 juta kenderaan dijangka memasuki Perak melalui Lebuhraya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jumlah tersebut adalah anggaran pengguna jalan raya dari Tanjung Malim ke Parit Buntar.
“Jumlah itu tidak termasuk Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), ia hanya anggaran untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Free Fuel, Free Road Fatality@Petronas UTP di stesen Petronas Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar hari ini.
Mohammad Nizar berkata, pengguna lebuh raya disarankan mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa pulang menyambut perayaan itu.
“Saya sarankan pengguna jalan raya memandu dalam keadaan yang tenang dan tidak meneruskan dalam tempoh yang empat jam ke atas. Berhenti sekerap yang boleh di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi menyegarkan diri untuk meneruskan perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, program hari ini melibatkan aktiviti pemberian petrol RON95 kepada 300 buah kereta dan 500 buah motosikal serta penukaran minyak enjin untuk 100 buah motosikal.
Menurutnya, turut disediakan ialah perkhidmatan daripada agensi-agensi di gerai pameran serta gerai jualan daripada pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Fokus utama program ini adalah advokasi kepada penunggang motosikal di mana penunggang motosikal mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian,” katanya.
Menurutnya, advokasi itu akan diperluas di sekolah-sekolah sebagai satu usaha dalam mendidik dan membanteras pelanggaran undang-undang jalan raya yang sedang berkuatkuasa.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius dalam mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030, berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Oleh itu, kerjasama dari semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya amatlah diharapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kematian di jalan raya,” katanya. – UTUSAN