Sebutan semula kes pegawai kanan polis bunuh pelajar 21 Mac

Sebutan semula kes pegawai kanan polis bunuh pelajar 21 Mac

MOHD. Nazri Abdul Razak hadir di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak,  semalam untuk prosiding bagi sebutan semula kes melanggar seorang pelajar Disember lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kes bunuh seorang pelajar lelaki tingkatan lima membabitkan pegawai kanan polis berpangkat deputi superintenden pada Disember lalu, disebut semula Mac ini.

Majistret S. Punitha menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk mendapatkan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa terdapat dokumen-dokumen yang masih belum diperolehi dan pihaknya memerlukan masa bagi mendapatkan dokumen berkenaan.

Permohonan tersebut tidak mendapat bantahan daripada peguam mewakili tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, iaitu Jacky Loi Yap Loong dan Lim Chi Chau.

Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Saiful Akmal Mod Said dan Geetha Jora Singh. Turut hadir, peguam pemerhati bagi keluarga mangsa iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Zamri Idrus.

Dalam prosiding bagi sebutan semula kes hari ini, Mohd. Nazri yang memakai pelitup muka dan baju berpenutup kepala ‘hoodie’ itu tiba di pekarangan mahkamah dengan tangan bergari pada pukul 8.20 pagi.

Pada 18 Disember lalu di mahkamah sama, tertuduh yang sebelum ini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu, Muhammad Zaharif maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Suspek dikatakan telah mengejar motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN