Ringgit: Keadaan tidak sama seperti krisis ekonomi 1998 - PM

Ringgit: Keadaan tidak sama seperti krisis ekonomi 1998 – PM

ANWAR  Ibrahim (tengah) melakukan gimik pelancaran Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia Tun Razak Exchange (TRX) di Menara Exchange 106, Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama, Timbalan Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd, Datuk Azmar Talib (tiga kiri). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi selain mencatatkan pelaburan terbesar dalam sejarah negara walaupun mata wang ringgit merosot.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi sekarang tidak sama seperti krisis ekonomi 1998 yang ketika itu menyaksikan kenaikan inflasi dan kemerosotan jumlah pelaburan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memantau kesan dan situasi semasa nilai ringgit di samping menegaskan memberi tumpuan kepada kos sara hidup rakyat.

“Tetapi mengapa harus dilihat hanya daripada segi ringgit dan dibandingkan dengan 1998 kerana sepertimana yang saya sebut, ringgit jatuh pelaburan jatuh, inflasi naik jadi dia tidak sama. 

“Pelaburan kita angka terakhir yang diumumkan semalam selepas mesyuarat Majlis Pelaburan Negara tertinggi dalam sejarah pelaburan Malaysia. Kalau keyakinan itu kurang kerana ringgit, dia tidak akan ada pelaburan seperti ini. 

“Pelaburan tertinggi dalam sejarah dan semalam mesyuarat pelaburan dan hari ini TRX (Tun Razak Exchange). Petang ini NACOOL Majlis Tindakan Sara Hidup Negara)   dan kita akan terus hari-hari pantau termasuk kos sara hidup kerana dalam perbincangan apa pun, kita harus beri tumpuan kepada kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TRX sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Exchange 106, di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung situasi nilai tinggit yang berterusan menyusut meletakkannya hampir ke paras terendah yang direkodkan pada 1998 semasa krisis kewangan Asia.

Semasa krisis kewangan Asia 1998, ringgit mencatatkan kadar terburuk pada 4.88 sehingga mendorong kerajaan campur tangan dengan menambat mata wang negara itu pada 3.80 berbanding dolar AS.

Anwar berkata, kerajaan tidak memandang ringan terhadap keadaan tersebut dan memastikan keadaan kembali pulih.

Kata Perdana Menteri, Malaysia berjaya mencatatkan jumlah diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lepas, me­ningkat 23 peratus berbanding tahun 2022 sekali gus menyaksikan jumlah itu adalah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.

“Tetapi kita kena tengok dan lihat pelaburan tertinggi dalam sejarah negara, inflasi jatuh dan pengangguran menurun manakala pertumbuhan kekal berbanding negara jiran.

 

“Jadi saya melihat kita perlu melihat dari segi pandangan komprehensif dan kemampuan negara untuk berkembang di samping melihat kadar pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya