SANDAKAN: Seorang pekerja ladang kelapa sawit cedera tertusuk besi alat pengutip sawit semasa menjalankan aktiviti mengutip buah sawit.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut dan mangsa telah dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Jurucakap Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.35 pagi dan sepasukan tiga pegawai dan anggota bergegas ke bahagian kecemasan HDOK, Sandakan.
Pihak bomba kemudian bertindak memotong besi dengan menggunakan grinder dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.07 pagi. – UTUSAN