Paip dasar laut bocor punca gangguan bekalan air di Pangkor - Utusan Malaysia

Paip dasar laut bocor punca gangguan bekalan air di Pangkor

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (kanan) dalam sidang akhbar di pejabatnya di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gangguan bekalan air di Pulau Pangkor sejak Jumaat lalu dijangka kembali pulih sepenuhnya sebelum Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketika ini, Lembaga Air Perak (LAP) giat melakukan kerja-kerja mengesan kebocoran pada paip utama rentas dasar laut ke pulau itu, yang dipercayai punca tekanan air rendah ke pulau tersebut.

Menurutnya, kerja mengesan kebocoran dilakukan dengan bantuan juruselam di sepanjang 3.5 kilometer saluran,  membabitkan tiga paip utama.

“Saya mohon maaf dan minta orang-orang di Pangkor agar bersabar sedikit. Kita beri kesempatan kepada LAP meneruskan kerja mereka untuk membaiki keseluruhan paip utama.

“Kita akan lakukan secepat mungkin, kita beri jaminan sebelum Ramadan bermula, air ada dan bekalan mencukupi di semua tempat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abd Rahman dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) LAP, Ir Lokman Abd Rahim.

Mohamamd Nizar berkata, gangguan bekalan air mungkin disebabkan masih berlaku kebocoran pada paip utama tersebut.

Katanya, kebocoran paip utama menyebabkan tekanan air masih tidak kembali ke paras normal.

“Sebelum ini, pada 5 Februari, kerja pembaikan telah dilakukan di satu daripada tiga saluran paip utama. Namun selepas kerja membaiki paip itu, tekanan air masih belum naik sehingga semalam.

“Kita syak memang ada berlaku lagi kebocoran sama ada di dua paip lain atau paip yang sama. Kita sedang teliti perkara itu dan kerja pembaikan akan segera dilaksanakan sekiranya didapati terdapat kebocoran yang dikesan dan disahkan lokasinya,” katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, LAP telah menghantar enam lori tangki bagi pengagihan air ke kawasan-kawasan terjejas pada 9 dan 12 Februari lalu.

“Kawasan yang terjejas teruk ialah di Teluk Nipah dan Teluk Dalam yang merupakan kawasan hujung bekalan menyebabkan saluran air terpaksa merentasi kawasan tinggi,” katanya.

Gangguan bekalan air di Pulau Pangkor dilaporkan berlaku sejak 9 Februari lepas disebabkan permintaan dan penggunaan air yang tinggi semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan musim cuti sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya