SEBELAS pasangan Orang Asli Islam dan mualaf kawasan Temerloh dan Jerantut menjalani kursus pasca perkahwinan mengenai Pengukuhan Institusi Keluarga Mualaf peringkat negeri Pahang.
Ia dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Hotel Seri Malaysia, Temerloh baru-baru ini.
Pengarah Bahagian Pengurusan Dan Pembangunan Islam MUIP, Mohd. Ali Mat Dasir ketika merasmikan kursus tersebut berkata, empat slot ceramah, iaitu mengenai Pengurusan Stres Melalui Ibadah Dalam Rumah Tangga, Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Kewangan Keluarga dan Motivasi Dan Pengurusan Psikologi telah dititipkan kepada pasangan berkenaan.
“Kursus tiga hari dua malam ini berkolaborasi dengan JAIP bertujuan memastikan saudara muslim Orang Asli diberi penekanan khusus dalam perkara berkaitan bab munakahat,” katanya. – UTUSAN