PUTRAJAYA: Olive Jardin Marketing dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalankan kajian klinikal pertama di Malaysia terhadap minyak zaitun dara tuaian muda bertujuan membuktikan manfaat kepada kesihatan secara saintifik.
Menurut Pengarah Urusan Olive Jardin Marketing, Muhd Shakir As-Salam Ya, pasaran minyak zaitun dara di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa berdepan isu ketulenan apabila sesetengah pengusaha dipercayai bertindak memalsukan maklumat yang terkandung dalam produk mereka.
Jelasnya, hal itu terjadi ekoran kurang pendedahan serta maklumat berkenaan ciri-ciri khas minyak zaitun dara yang sebenarnya boleh dikesan melalui aroma dan rasa.
“Pasaran minyak zaitun di Malaysia yang boleh dipercayai tak sampai 10 peratus. Ini kerana minyak zaitun yang dikategorikan sebagai ‘extra virgin’ perlu ada dua pengesahan daripada makmal yang diiktiraf International Olive Council (IOC).
“Nilai ‘free acidity’ yang rendah dan ukuran median kesegaran buah yang tinggi merupakan ukuran utama dari segi kualiti yang ditetapkan IOC,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Olive Jardin dan UniSZA di sini hari ini.
Berkongsi mengenai kelebihan produk Olive Jardin berbanding jenama lain di pasaran, Muhd Shakir berkata, buat masa ini produk utama yang dihasilkan adalah Zoutina Prestige hasil perahan buah zaitun muda yang belum matang.
Ujarnya, kotak pembungkusan serta botol produk itu turut memaparkan sijil analisis makmal bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan kepastian mengenai status ‘extra virgin’.
“Paling mudah untuk tahu, semua minyak zaitun (di pasaran) adalah palsu kecuali ia dibuktikan dengan sijil tersebut yang dicetak di setiap kotak.
“Ada sesetengah orang di negara ini tidak tahu bau zaitun itu macam mana kerana kita tiada ladang dan kilang memproses minyak zaitun. Paling hampir saya boleh katakan baunya seperti jambu batu atau daun inai yang ditumbuk, itu lah minyak zaitun dara asli.
“Minyak yang tulen mesti mempunyai aroma dan rasa segar semula jadi, sedikit pahit dan sedikit pedas ketika kita cuba menelannya,” katanya.
Muhd Shakir turut berharap pengguna di negara ini dapat memahami rasa sebenar minyak zaitun dara yang berkualiti seterusnya menikmati manfaat dari segi kesihatan, berikutan kesedaran pengguna dalam membezakan kualiti dan menilai perbezaan kelas minyak zaitun dara masih lagi jauh ketinggalan.
“Kita miliki ladang buah zaitun sendiri di Meknes, Maghribi yang turut menjadi lokasi kilang pemprosesan. Produk yang siap dibotolkan kemudiannya dibawa terus ke Malaysia.
“Tahun lepas kami bawa sebanyak empat kontena membabitkan kira-kira 100,000 botol dan tahun ini kilang tersebut hanya berjaya menghasilkan 50 metrik tan bersamaan 200,000 botol dan jika ada permintaan tinggi, kena tunggu tuaian selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Fadzil Adam berkata, kajian klinikal dijadualkan selama sembilan bulan sejak 1 Januari lalu bagi membuktikan keberkesanan minyak zaitun tuaian muda terhadap penyakit metabolik.
“Hanya melalui kajian penyelidikan saintifik dapat membuktikan khasiatnya secara lebih spesifik. Jadi, hasil kajian ini boleh dijadikan rujukan yang jelas dan berasas kepada masyarakat umum selain memberi peluang untuk mengeksplorasi potensi terapi baharu pemakanan yang lebih baik dan strategi pencegahan penyakit,” katanya. – UTUSAN