Muzik tradisional giat disemarakkan - Utusan Malaysia

Muzik tradisional giat disemarakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU tidak semaikan muzik tradisional, asli ke dalam dada anak-anak muda kita, nescaya satu hari nanti, muzik lain akan mengambil tempat.” 

Pesanan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu terbukti kebenarannya apabila pemikiran sebilangan besar anak-anak muda kita hari ini dijajah muzik-muzik Barat. 

Kerana itu, sebarang usaha memartabatkan muzik tradisional seharusnya diangkat, bukan diperlekehkan. 

Terus menyahut seruan, Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada Sabtu ini mengadakan konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di Dewan Filharmonik Petronas. 

Ahmad Muriz Che Rose, Konduktor yang dipertanggungjawabkan selaku ‘nakhoda’ persembahan itu nanti tidak menolak penganjuran tersebut sebagai satu usaha untuk memartabatkan muzik tradisional, khususnya Keroncong dan Ghazal. 

“Sebagai salah sebuah organisasi yang terlibat dalam persembahan orkestra simfoni, inisiatif untuk memartabatkan muzik tradisional semestinya menjadi sebahagian wawasan MPO supaya muzik tradisional diberi penghargaan sepatutnya. 

“Konsert yang menyajikan lagu-lagu tradisional dalam bentuk simfoni akan menjadi satu penanda aras dalam industri bagi penggiat lagu tradisional. 

“Kami berharap lebih ramai penggiat seni mempersembahkan konsert-konsert tradisional sebegini supaya genre ini dapat dipopularkan semula dalam kalangan masyarakat,” katanya. 

Istimewanya konsert ini apabila 20 lagu dipilih untuk dipersembahkan menerusi iringan orkestra simfoni yang disemarakkan dengan kepakaran kira-kira 72 pemuzik. Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal ini juga menampilkan barisan penyanyi terkenal seperti Haziq Rosebi, Asmidar dan biduan ikonik negara, Datuk Yusni Hamid. 

“Ketiga-tiga penyanyi ini mempunyai kelebihan dalam genre yang disajikan. Gabungan mereka ibarat satu resipi persembahan yang menarik peminat daripada pelbagai peringkat umur. 

“Persembahan nanti akan disajikan dalam bentuk asli dan simfoni melalui suntikan dengan sentuhan penggubah-penggubahprofessional seperti Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Rozainie Hashim dan saya sendiri,” ujar Che Muriz.

PELUANG SATU DALAM SEJUTA 

Penyanyi, Asmidar merasakan dirinya cukup bertuah kerana menjadi sebahagian konsert ini. Asmidar mengakui penglibatannya dalam Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal membuka peluang kepadanya untuk berkongsi pentas dengan penyanyi ikonik seperti Yusni. 

“Saya cukup menghormati dan memandang tinggi Yusni kerana dia bukan sahaja ikonik, malah malah segar dan masih bertahan sampai ke hari ini. Pengalaman satu pentas dengan beliau ibarat peluang satu dalam sejuta. 

“Saya banyak bertanya kepadanya sepanjang kerjasama kami dalam konsert ini. Pengalaman yang dimiliki biduan ini dalam bidang seni terlalu luas, jadi rugi kalau saya tak ambil peluang belajar dari beliau,” kongsinya pada konsert itu nanti bakal menyampaikan 12 lagu antaranya Biar Sampai Ke Bintang yang dipersembahkan dalam versi keroncong. 

Sementara itu, Asmidar menyifatkan usaha MPO menganjurkan konsert tersebut sebagai langkah berani yang perlu diraikan dan disokong pelbagai pihak. 

“Saya hargai usaha MPO yang berterusan menyemarakkan muzik tradisional dalam kemeriahan industri seni tempatan yang juga disemarakkan dengan genre muzik moden dan terkini. 

“Muzik tradisional kita ada pengikut tersendiri. Ia tidak sendu atau pudar ditelan zaman. Tapi dalam skala lebih besar, saya tak na kan genre ini sedikit ‘ditolak ketepi’ kerana adanya genre muzik lain,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya