Mohd. Zin dilantik Ketua Pengakap Negara ketujuh

Mohd. Zin dilantik Ketua Pengakap Negara ketujuh

ANWAR Ibrahim menyempurnakan Istiadat Penyerahan Suratcara Pelantikan dan Penganugerahan Bintang Semangat Padi (Emas) kepada Mohd. Zin Bidin di Putrajaya, hari ini. - IHSAN PPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin dilantik sebagai Ketua Pengakap Negara Ketujuh. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Istiadat Penyerahan Suratcara Pelantikan dan Penganugerahan Bintang Semangat Padi (Emas) kepada Mohd. Zin disempurnakan di pejabat beliau, hari ini. 

Menurut beliau, pelantikan bagi mengetuai Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dilaksanakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 15 Disember lalu.

“Selaku Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia, saya titipkan pesan buat Mohd. Zin untuk menampilkan kepimpinan penuh teladan dan mengangkat tatakelola hatta integriti sepanjang menggalas amanah ini,” katanya. 

Sementara itu, Persekutuan Pengakap Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mohd. Zin adalah hasil daripada satu proses pemilihan yang menyeluruh, mengambil kira teladan kepemimpinannya, dedikasi, serta sumbangan yang besar dalam perkhidmatan ketenteraan, perubatan, dan pendidikan. 

Menurut Mohd. Zin berkata, amanah yang diberikan kepadanya itu akan digalas sebaik-baiknya dalam melonjakkan lagi pencapaian PPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

“Saya akan menggalas amanah ini dengan penuh komitmen dan integriti terutama dalam mempersiapkan golongan muda-remaja untuk mendepani cabaran era baharu. 

“Saya berharap seluruh warga PPM dapat bergerak sederap dalam memperkukuhkan peranan pengakap untuk menerapkan nilai integriti, disiplin, kepimpinan dan daya saing bagi melahirkan pemimpin masa depan negara,” katanya. 

Mohd. Zin sebelum ini memangku tugas Ketua Pengakap Negara menggantikan Allahyarham Tan Sri Shafie Mohd Salleh yang meninggal dunia pada 11 September 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN