Media Mulia luncur portal komik MMTOON

Media Mulia luncur portal komik MMTOON

Portal mmtoon.com.my memaparkan semua koleksi kartun dan siri komik yang pernah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! sejak 1960-an.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB) meluncurkan portal MMTOON yang merangkumi koleksi kartun dan komik dalam usaha menyemarakkan industri kreatif di negara ini.

Portal mmtoon.com.my memaparkan semua koleksi kartun dan siri komik yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia dan Kos­mo! sejak 1960-an serta po­pular dalam kalangan penggemar genre itu.

Antara siri klasik yang disiarkan di portal MMTOON ialah Din Teksi oleh Nan, Barber’s Corner oleh Nan, Bengkung Pelangi oleh Zoy, Botak Komando oleh Zoy, Prebet Dabus oleh Rejabhad dan Kutu oleh Zainal Buang Hussin.

Koleksi komik dan kartun terkini antaranya Puteri Pontianak oleh Ben Wong, Maya oleh Ben Wong, Anak Dara Haji Deraman oleh Jon Suraya dan Mamak Cyber oleh Maro.

Pengarah Urusan/Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar berkata, peluncuran MMTOON bertujuan mengembalikan minat dan kegirangan masyarakat dalam menghargai genre kartun dan komik.

Katanya, koleksi yang dimiliki oleh MMSB yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! se­awal tahun 1960-an adalah kha­zanah kreatif negara yang mesti dihidupkan dan disebarkan kepada golongan hari ini.

“Kita mahu hidupkan semula minat kepada komik dan kartun kerana ia adalah cabang dunia kreatif yang perlu wujud di mana-mana negara di dunia.

“Ia juga penghargaan kepada penggiat seni kreatif kartun dan komik supaya hasil kerja mereka sentiasa mendapat tempat dalam kalangan pembaca tanpa mengira usia dan masa.

“Sejak sedekad lalu, industri kartun dan komik menerusi penerbitan majalah telah berhadapan masa sukar tetapi paparan digital MMTOON ini mampu mengembalikan kegemilangan industri ini,” katanya di sini semalam.

MMSB menjadi syarikat media pertama di negara ini yang melancarkan koleksi kartun dan komik dalam bentuk digital.

Pembangunan portal MMTOON mengambil masa lebih empat bulan untuk disiapkan membabitkan jabatan kreatif yang bertanggungjawab kepada produk terbaharu MMSB ini.

Mohamad Azlan juga berharap MMTOON menjadi pencetus minat terutama di kalangan bakat kreatif muda untuk terus mengasah bakat dan memeriahkan bidang ini.

“MMSB mesti berkembang sebagai syarikat kerana dunia tidak menunggu kepada sesiapa sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN