Masyarakat pelbagai kaum meriahkan sambutan Tahun Baru Cina di Pauh - Utusan Malaysia

Masyarakat pelbagai kaum meriahkan sambutan Tahun Baru Cina di Pauh

MASYARAKAT pelbagai kaum dan agama memeriahkan Majlis Makan Malam dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh Setia, Arau, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Penganjuran Majlis Makan Malam dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Pauh di sini meriah dengan kehadiran lebih 500  masyarakat daripada pelbagai lapisan kaum.

Terdapat beberapa pengisian menarik pada majlis itu antaranya seperti persembahan nyanyian dan kebudayaan masyarakat Cina, sajian makanan menarik, pemberian ‘angpau’ raya serta tembakan mercun.

Penasihat Persatuan Sukan dan Rekreasi Perlis, Datuk Kelvin Teoh berkata, penganjuran program tersebut diadakan bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di samping menggembirakan seluruh penduduk kawasan berkenaan.

“Kita telah jalankan program ini sejak 10 tahun lalu bertujuan untuk bersama-sama meraikan sambutan perayaan ini dengan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau bangsa,” katanya kepada ketika ditemui selepas majlis itu di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh Setia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar yang mewakili Penasihat Persatuan Sukan dan Rekreasi Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman.

Sementara itu, Syed Atif berkata, program berkenaan berlangsung selama dua hari di mana sebelum majlis tersebut, terdapat beberapa pengisian menarik diadakan antaranya seperti perarakan sekitar kawasan Kampung Baru Cina Pauh, di sini.

“Selepas itu, program sambutan disambung pula dengan majlis makan malam ini di mana selain meraikan seluruh masyarakat, kita juga turut tidak melupakan golongan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak.

“Jika dilihat berdasarkan kehadiran pengunjung semalam, dianggarkan seramai 2,000 hingga 3,000 orang telah hadir bagi memeriahkan penganjuran program ini sekali gus menunjukkan kekuatan perpaduan di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, secara umumnya, seluruh masyarakat berbilang kaum boleh bersatu padu dalam satu majlis perayaan dan ia secara jelas menunjukkan aspek kepelbagaian turut dirai oleh rakyat negara ini.

“Seluruh masyarakat dapat bersama-sama dalam program sambutan sebegini dan ini merupakan kesepaduan ditunjukkan oleh rakyat negara kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN