Masih ada pertahankan perasuah besar – Anwar

Masih ada pertahankan perasuah besar – Anwar

Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke kawasan Car Free Zone untuk melihat kemeriahan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 di Bandar Hilir, Melaka semalam. UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan kenyataan sesete­ngah pihak yang mempertahankan golongan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatan ra­suah.

Beliau berkata, tindakan tegas yang diambil sama seperti yang dikenakan terhadap rak­yat lain tanpa tanpa mengira jawatan atau pangkat.

“Secara umum semuanya bersetuju tetapi bila ada tindakan ramai mengeluh, kadang terkena pada golongan ‘maha kaya’ yang telah mengumpul kekayaan berbilion ringgit, namun masih ada mempertahankan mereka kononnya orang itu sudah tua, kes lama. Saya rasa aneh.

“Polis (berpangkat) sarjan kalau ditangkap ambil RM500 dia didakwa, di kampung kalau curi motosikal didakwa dan dipenjara sama ada dia sakit atau di hospital. Tetapi bila kita ambil tindakan pada perasuah besar negara timbul kenyataan mengapa dendam, mengapa zalim, mengapa tidak mengira umur,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam.

Tambah Anwar, negara kini menanggung hutang sebanyak RM1.5 trilion dan kerajaan terpaksa merangka ekonomi de­ngan cermat serta menonjolkan ketegasan menerusi penguatkuasaan bagi menghapuskan perasuah.

Katanya, beliau berbangga dengan sikap profesionalisme oleh agensi-agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bangga kerana kete­gasan kita, mereka bertindak profesional dan terhadap golongan yang telah diketahui merompak kekayaan berpuluh bilion daripada negara ini.

“Kita sekarang mengeluh, hutang termasuk yang terkumpul mencecah RM1.5 trilion, mahu belanja sewenang (dianggap) tidak bertanggungjawab, mahu cermat takut menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin, kesihatan dan lain-lain. Jadi kita terpaksa merangka ekonomi dengan begitu cermat,” ujar­nya.

Sementara itu, Anwar berkata, Kabinet tidak pernah membincangkan mengenai pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang diputuskan Lembaga Pengampunan.

Perdana  Menteri berkata, beliau hanya melaporkan pengurangan hukuman itu selepas keputusan dibuat minggu lalu.

Kata beliau, banyak cerita negatif yang bertebaran kononnya beliau dan Kabinet terlibat dalam proses tersebut.

“Beberapa minggu lalu sibuk kes pengampunan, ini semua kerana Perdana Menteri dan Kabinet. Kita Kabinet tidak pernah membincangkan (pengurangan hukuman). Saya hanya melaporkan minggu lalu setelah keputusan dibuat Lembaga Pengampunan.

“(Permohonan) didengar oleh Yang di-Pertuan Agong tapi keputusan baginda adalah muktamad mengikut Perlembagaan Persekutuan. Mereka (pembangkang) tahu tapi dipolitikkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya