Madani Rakyat sedia lebih 30 reruai, jualan agro

Madani Rakyat sedia lebih 30 reruai, jualan agro

SEBAHAGIAN pengunjung menyaksikan pameran daripada kementerian dan agensi kerajaan dalam Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di Kuala Selangor, Selangor, semalam. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 unit reruai kementerian, agensi dan kerajaan negeri serta jualan Agro Madani disediakan di Program Madani Rakyat Zon Tengah yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Lebih 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dari Pejabat Perdana Menteri itu yang berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Program kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Negeri Selangor itu adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Disember lepas.

Menurut PACU, selain reruai, 40 gerai jualan makanan dan 30 pengusaha agro termasuk barang basah disediakan di program itu.

Madani Rakyat Zon Tengah menumpukan aktiviti berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan, program pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Ia termasuk program kesejahteraan rakyat selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mengajak rakyat memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Tengah itu.

Beliau berkata, pelbagai kaunter agensi kerajaan serta program disediakan selain jualan Agro Madani.

“Termasuklah jika ada sesiapa yang hadapi kesukaran mendaftar PADU, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan membuka kaunter dan boleh bertemu (untuk) pendaftaran atau bertanyakan sebarang soalan,” katanya.

Dalam pada itu, jangkaan 70,000 pengunjung tersebut adalah berdasarkan penganjuran karnival itu di peringkat Zon Tengah yang menyasarkan kunjungan orang ramai dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan sebahagian Perak.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd. Yahya Sahri berkata, kehadiran ramai dijangkakan apabila penganjuran karnival bukan menumpukan kepada Selangor semata-mata.

“Lebih 70,000 pengunjung itu yang dijangka tetapi 50,000 itu sudah pasti untuk sepanjang tiga hari kerana pelbagai tarikan disediakan di samping pameran pada reruai oleh kementerian-kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

“Selain itu, terdapat cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah seperti kereta, motosikal serta barangan elektrik seperti televisyen. Pada hari pertama pun, pameran sudah bermula dan ada program selawat diikuti dengan Subuh Challenge dekat Masjid Kuala Selangor,” katanya.

Beliau menambah, bagi program selawat dan Subuh Challenge itu, seramai 5,000 hingga 10,000 pengunjung dijangka menyertainya.

Dalam pada itu, Mohd. Yahya berkata, pameran yang diadakan pada Program Madani Rakyat Zon Tengah itu antara lain menumpukan kepada pendedahan dalam sektor pertanian moden.

“Ada banyak pameran- perkhidmatan daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk pendidikan, pengajian tinggi, industri pemakanan dan sebagainya. Cuma tumpuan kepada pertanian sebab dari Selangor Utara hingga ke Perak adalah kawasan pertanian.

“Penganjur pada siri ini adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, jadi pendedahan yang akan dibuat adalah berkenaan teknologi dalam pertanian moden supaya banyak produk-produk baharu di sini dapat diketengahkan. Sudah tentu perusahaan mikro, kecil dan ederhana (PMKS) ada sekali,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN