PETALING JAYA: Lima lelaki termasuk seorang daripadanya warga asing ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan lelaki warga asing terbabit mengganggu seorang wanita yang juga pengurus restoran berkenaan.
“Dalam siasatan kes ini, polis menahan lima individu terdiri daripada empat warga tempatan berusia 20 tahun dan seorang warga asing berusia 33 tahun.
“Kesemua mereka dipercayai terbabit dalam pergaduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek lelaki warga tempatan direman sehari manakala warga asing terbabit empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 16 saat memaparkan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah restoran makanan segera bergaduh dengan individu lain sementara beberapa pekerja lain cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
Berdasarkan video tular berkenaan pergaduhan itu dipercayai berlaku di hadapan restoran makanan segera terbabit sambil diperhatikan oleh orang ramai yang lalu-lalang di situ. – UTUSAN