IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan tunangnya kerana disyaki terbabit melakukan cubaan bunuh ke atas anggota polis berpangkat Lans Koperal yang sedang bertugas di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pasangan kekasih warga tempatan berusia 33 dan 34 tahun itu diberkas di kawasan Tanjung Rambutan.
Katanya, dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis THC selain mempunyai 17 rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.
“Semakan juga mendapati, suspek wanita terbabit memiliki dua rekod lampau bersabit kesalahan jenayah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.
“Berikutan kejadian menimpa anggota terbabit, polis membuka kertas siasatan kes mendatangkan kecederaan parah dengan niat membunuh.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, kedua-dua suspek berjaya ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam dari masa kejadian,” katanya.
Tambah beliau, siasatan akan dilengkapkan segera bagi membolehkan ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam semalam itu, anggota polis berusia 34 tahun mengalami patah tulang rusuk dan bahu.
Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan setugas ingin membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Iriz yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Bagaimanapun, pemandu kereta itu bertindak mengundurkan kenderaan sebanyak dua kali lalu melanggar mangsa sebelum memecut laju untuk melarikan diri. – UTUSAN