Lebih 3,000 jemaah sertai solat 'Subuh Macam Jumaat'

Lebih 3,000 jemaah sertai solat ‘Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Putra

KEMPEN solat 'Subuh Macam Jumaat' di Masjid Putra Putrajaya disertai lebih 3,000 jemaah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kempen solat ‘Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Putra di sini pagi tadi disertai lebih 3,000 jemaah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024).

Solat subuh itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Program ‘Solat Subuh Macam Jumaat ‘ itu diimamkan oleh Ustaz Abdul Karim Zakaria, manakala tazkirah subuh pula disampaikan oleh Al-Habib Najmuddin Othman Al-Khered.

Aktiviti lain yang dianjurkan pagi ini termasuk Berjalan Sihat@Putrajaya iaitu program berjalan santai bermula sejauh 2.5 kilometer (km) di Dataran Putra, Masjid Putra ke Dataran Putrajaya, Presint 3.

Lebih menarik, sambutan HWP 2024 juga akan diadakan sekali bersama program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD 2024) yang turut diadakan bermula esok hingga Ahad.

Program yang diadakan menerusi inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) juga akan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan diinginkan.

Dalam pada itu, sebanyak 61 program disusun sempena sambutan HWP 2024 di bawah enam teras iaitu Teras Pengiktirafan; Teras Ilmiah dan Pendidikan; Teras Usahawan; Teras Kemasyarakatan; Teras Seni dan Budaya dan Teras Sukan.

HWP 2024 yang bertemakan ‘Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni’ turut memberikan fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan kepada golongan B40 dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Selain itu, program 50 Tahun Wilayah Persekutuan juga akan berlangsung hingga Disember depan di mana mempunyai pelbagai pengisian bersifat komuniti.

Ia termasuklah program seperti Wacana Ilmu Malaysia MADANI 50WP, Sahabat 50WP, Paint by Numbers Canvas WP, Gemuruh 50WP, Wilayah Persekutuan Berselawat, Sambutan HWP 2024, Jualan Rakyat MrGrocer@Wilayah dan Sarapan Sihat@WP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN