Lalang kekuningan di Perlis persis luar negara

Lalang kekuningan di Perlis persis luar negara

KAWASAN lalang kering dan kekuningan menjadi tarikan pengunjung menghabiskan masa lewat petang bermain sambil menikmati suasana matahari terbenam di Kampung Seriab, Kangar, Perlis.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kawasan lalang yang kekeringan dan kekuningan berikutan cuaca panas di Kampung Seriab di sini menjadi tumpuan orang ramai menikmati keindahan di lokasi tersebut khususnya pada waktu petang.

Meskipun hanya lalang biasa, namun pemandangannya seolah-olah seperti berada di luar negara terutama ketika matahari terbenam yang menyajikan panorama memukau.

Orang ramai juga menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat bermain layang-layang, beriadah, merakamkan gambar dan bermain burung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hasmira Hashim,40, berkata, dia bersama suami membawa anaknya pada sebelah petang untuk beriadah di kawasan berkenaan.

Katanya, meskipun hanya lokasi biasa berhampiran rumah mereka, namun pemandangan di situ pada musim kemarau ketika ini yang menyaksikan lalang-lalang bertukar kekuningan ia sangat memukau.

“Setiap hari pada lewat petang, orang ramai singgah di kawasan itu untuk bergambar sambil membawa anak-anak bermain. Kami juga menunggu sehingga matahari terbenam bagi melihat pemandangan indah.

“Selain itu, terdapat juga sekumpulan penjinak burung melepaskan burung mereka di kawasan berkenaan sebelum burung itu kembali semula kepada tuan mereka. Situasi tersebut menarik perhatian pengunjung di situ,” katanya.

Tambah Hasmira, pada musim panas ini, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan hanya membenarkan anak bermain pada sebelah lewat petang sahaja.

Katanya, dia dan keluarga juga sentiasa minum air yang banyak memandangkan suhu ketika ini boleh mencecah sehingga 38 darjah celsius.

“Menariknya di Perlis pada musim panas ini, banyak kawasan biasa sebelum ini bertukar menjadi cukup indah seperti di kawasan lalang kekuningan di Seriab ini.

“Secara tidak langsung ia menjadi tarikan dan lokasi untuk orang ramai beriadah pada sebelah petang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN