Kerajaan tidak hanya bela penjawat awam, tetapi seluruh rakyat

Kerajaan tidak hanya bela nasib penjawat awam, tetapi seluruh rakyat – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kerajaan tidak hanya membela nasib penjawat awam sebaliknya setiap peringkat dalam masyarakat di seluruh negara turut menjadi fokus utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini terbukti apabila kerajaan menambah peruntukan bagi setiap skim dan bantuan tunai kepada rakyat secara keseluruhannya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, adalah tidak benar mengaitkan kerajaan hanya tumpu kebajikan penjawat awam.

“Itu tidak benar sebaliknya kerajaan tumpu setiap sektor termasuk daripada pekebun kecil, orang kurang upaya (OKU), nelayan dan sebagainya.

“Kita tahu orang bising tentang insentif pengeluaran getah, malah kita naikkan kadarnya dari RM2.70 pada 2023 kepada RM3.00 tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM400 juta.

“Malah, kadar skim subsidi padi juga dinaikkan daripada RM360 pada 2022 kepada RM500 pada tahun 2023 selain harga lantai belian pada pula dinaikkan kepada RM1,300 pada tahun 2023 berbanding RM1,200 pada 2022,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Katanya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada sembilan juta penerima juga meningkat kepada RM10 bilion tahun ini berbanding RM9 bilion tahun lalu.

Anwar berkata, ketika ini, kadar maksimum STR bagi setiap isi rumah juga ditingkatkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 tahun lalu.

Bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARa) pula, katanya, jumlah penerimanya kini sudah mencecah 700,000 berbanding 210,000 penerima tahun lalu.

“Justeru, jumlah peruntukannya pula bertambah dari RM210 juta tahun lalu kepada RM700 juta tahun ini,” katanya.

Katanya, peningkatan insentif dan kadar bantuan tunai itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap segenap rakyat terutama dalam menangani soal harga barang dan bebanan lain.

Anwar berkata, beliau akui ada segelintir rakyat yang masih mengeluh soal kenaikan harga barang namun, setiap kementerian kini sedang berusaha menangani isu berkenaan.

“Sementara kita bincang pengurusan ekonomi negara yang lebih baik, kita juga tidak lupakan masalah kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya