KUALA LUMPUR: “Ibu bangga dengan kakak.”
Itu luahan penyanyi, Siti Nursairah Tarudin di Instagram selepas anaknya, Ummi Umaira tidak mensia-siakan peluang menyanyikan lagu Seluruh Cinta secara duet bersama penyanyi seberang, Cakra Khan menerusi konsert Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 malam tadi.
Lebih membanggakan, Ummi Umaira yang mesra disapa Umai, tidak kekok malah tenang apabila dipelawa Datuk Ramli M.S untuk untuk berduet bersama Cakra.
“Terkejut juga bila Tok Ram sebut nama Umai untuk nyanyi berduet dengan Cakra Khan. Umai datang sebagai penonton dan peminat abang Cakra Khan. Semua ini secara spontan.
“Dalam konsert besar, semua kena ada persediaan. Dan saya pun tidak diberitahu apa-apa. Tapi kejutan yang tidak disangka.
“Maaf kakakku, Azlina Abd. Latif jika ada kekurangan dari Umai apabila berduet. Tahniah juga buat konsert 2.0 Cakra Khan di Malaysia,” tulisnya.
Umai pada konsert tersebut menerima kejutan apabila dipanggil naik ke pentas oleh Ramli untuk menyanyikan lagu yang dipopularkan ibu saudaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu bersama Cakra.
Ramli, dalam kenyataannya semalam, menyifatkan Umai sebagai bintang cilik yang berbakat besar dalam dunia seni suara.
“Dia protege saya, umur baru 12 tahun. Menjelang umurnya 16 tahun, dia akan menjadi ‘monster’ dalam bidang nyanyian,” katanya.
Konsert yang berlangsung di Dewan Planeri KLCC itu turut dimeriahkan dengan kemunculan barisan artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Rossa dan Judika.