JPJ periksa 361 bas di 54 depoh seluruh negara 

JPJ periksa 361 bas di 54 depoh seluruh negara 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 361 bas di 54 depoh seluruh negara telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, aktiviti pemeriksaan dan pengauditan membabitkan depoh bas di seluruh negara dilakukan bermula Sabtu lalu.

Kata beliau, selain pemeriksaan bas, ia bagi memastikan tahap kesediaan operasi dan keselamatan berada dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun, 12 buah bas diambil tindakan dan 10 buah bas dikeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) atas pelanggaran peraturan teknikal yang ditetapkan. 

“JPJ juga memantau pemandu yang akan mengendalikan operasi bas mempunyai dokumen yang lengkap dan bersedia mengoperasikan perkhidmatan bas mengikut jadual ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menegaskan, JPJ memandang serius aspek keselamatan dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Lokman berkata, larangan kenderaan berat beroperasi sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina adalah dua hari sebelum perayaan iaitu 8 dan 9 Februari, sementara dua hari lagi selepas perayaan iaitu pada 12 dan 13 Februari.

“Larangan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan, selain mengelak berlaku kejadian kemalangan tidak diingini.

“Kita juga akan melakukan pemeriksaan status saman syarikat pengendali bas tertunggak dan pemeriksaan status saman pemandu bas tertunggak,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, pemeriksaan teknikal dan ‘roadworthiness’ keselamatan kenderaan dilakukan termasuk brek, tayar, lampu, pembalik cahaya, dokumen kenderaan dan pemandu serta peralatan keselamatan.

Ujar beliau, penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

“Matlamat JPJ untuk melandai statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

“JPJ menyeru dan memohon kerjasama kepada pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya