KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud selesai disembahyangkan di Masjid Negara pukul 10.25 pagi tadi.
Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 200 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.
Turut kelihatan anak Allahyarham, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mengangkat jenazah ayahnya keluar daripada van untuk dimandi dan dikafankan.
Jenazah turut diiringi isteri Allahyarham, Toh Puan Raghad Kurdi Taib bersama anak-anaknya.
Jenazah tiba di Masjid Negara pada jam 9.11 pagi diiringi petugas Polis Diraja Malaysia dan kenderaan Timbalan Perdana Menteri.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.40 pagi pada usia 87 tahun.
Perkara tersebut disahkan menerusi akaun Facebook Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib yang juga merupakan anak bongsu Allahyarham.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Lapangan Terbang Subang sebelum diterbangkan ke Kuching, Sarawak untuk majlis pengebumian yang dijadualkan esok. –UTUSAN