JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) 2024 yang berlangsung selama sembilan hari hingga 3 Mac ini dianggap sebagai ‘durian runtuh’ bagi golongan peniaga.
Rata-rata pengunjung yang hadir ke FLLSPG di Bukit Layang-layang, di sini tidak melepaskan peluang untuk membeli layang-layang yang beraneka bentuk dan saiz.
Menurut seorang peniaga, Muhammad Alif Karin, 27, gerainya menyediakan lebih 100 rekaan layang-layang pelbagai saiz yang sesuai untuk diterbangkan oleh pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak hingga dewasa.
Katanya, kebanyakan pengunjung dalam kalangan golongan yang jarang bermain layang-layang dan teruja untuk bermain permainan tradisional itu.
“Untuk FLLSPG kali ini, kami membawa stok layang-layang sebanyak 100,000 unit memandangkan penganjuran festival kali ini lebih panjang berbanding tahun-tahun yang lalu. Layang-layang yang dijual bermula pada harga RM10 hingga lebih RM100 mengikut saiz dengan saiz paling besar selebar dua meter,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Turut tidak melepaskan peniaga untuk mencari rezeki di FLLSPG edisi ke-26 itu ialah Zul Azrin Rominoor, 42, yang sudah tujuh tahun mengambil bahagian dalam festival tersebut.
Dia menjangkakan sambutan pada tahun ini lebih hebat berbanding tahun sebelumnya memandangkan tempoh festival yang panjang selain diadakan semasa musim cuti sekolah.
Selain menjual layang-layang, dia turut mengajar pembeli cara bermain layang-layang yang beraneka jenis dengan betul.
“Setiap tahun saya tidak melepaskan peluang berniaga di FLLSPG yang menjadi lubuk rezeki. Layang-layang yang dijual di gerai serendah RM5 sehingga lebih RM100.
“Layang-layang yang mahal ini menggunakan material yang berbeza dan perlukan kemahiran untuk menerbangkannya. Jadi, saya akan mengajar mereka cara menaikkan layang-layang itu,” katanya.
Selain gerai layang-layang terdapat pelbagai lagi gerai jualan alat permainan, makanan, pakaian, kraf dan barang perhiasan serta beberapa agensi turut membuat pameran seperti Tourism Johor, Kompleks Kraf Johor dan Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang. – UTUSAN