'Esok saya tak akan ke sekolah' - Utusan Malaysia

‘Esok saya tak akan ke sekolah’

GAMBAR Hanna Mikayla Azam pada majlis jamuan akhir sesi persekolahan di sekolahnya semalam sebelum ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh dekat Bidor hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kata-kata seorang kanak-kanak perempuan yang memberitahu dia tidak akan ke sekolah hari ini benar-benar menjadi kenyataan apabila ditemukan lemas dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh dekat Bidor.

Mayat Hanna Mikayla Azam, 7, dijumpai di bawah timbunan batang pokok pada pukul 9.05 pagi berdekatan Masjid Kampung Bidor hari ini.

Menurut ibu saudara mangsa, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, perkara tersebut diluahkan anak sulung daripada tiga beradik itu kepada bapa saudaranya semalam.

“Semalam, selepas dia balik dari sekolah dia ada beritahu pakciknya yang hari ini adalah hari terakhir dia ke sekolah. Dia cakap tidak akan ke sana lagi.

“Tidak tahu kenapa dia cakap begitu, mungkin itu gerak hatinya dan tidak sangka pula ia menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, enam sekeluarga termasuk seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia terperangkap dalam kepala air ketika melakukan aktiviti perkelahan.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung pada pukul 4.30 petang manakala anak lelakinya, Hafiy Muhayat, 4, pula ditemukan pada 9.30 malam.

Seorang lagi anak Aszura iaitu Hanum Marissa pula dijumpai pada pukul 8.55 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, kakak Aszura dikenali Aslinda, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun serta pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an terselamat.

Menurut Aznur, ketika kejadian, adiknya tidak ikut serta dalam perkelahan kerana bekerja.

Katanya, kejadian itu memberi tamparan hebat kepada Azam kerana kehilangan isteri dan tiga anak sekali gus.

“Kali terakhir saya berjumpa tiga beradik itu pada Ahad lalu ketika mereka berkunjung ke rumah nenek di Ipoh.

“Tiga beradik itu berulang kali cakap mahu jumpa opah mereka, malah dalam tempoh selang seminggu ini, dua kali mereka datang ke sana. Semasa di sana, saya lihat mereka sangat gembira,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya