TENOM: Saksi kesembilan memberitahu mahkamah dia rasa sangat berdosa pada suaminya kerana di belakang suami, dia melayan pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Malah, dia rasa bodoh kerana terlalu ikut kehendak Ebit hingga memberikan macam-macam gambar kepada pendakwah berkenaan.
Saksi yang merupakan pengadu dalam kes tersebut berkata demikian semasa menjawab soalan dalam pemeriksaan utama yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin yang meminta saksi membaca mesej yang dihantar kepada Ebit melalui Instagram pada 14 April 2021.
“Berdosa sangat pada suami sebab di belakang dia, saya layan ustaz, sedihnya. Dulu tengok ustaz, mesti panggil suami tengok sama-sama..abang ikutlah macam Ustaz Ebit, sekarang sudah kosong.
“Kadang tengok terbayang yang bukan-bukan..pernah tengok beronani, memang nangis dan tidak senang hati. Mesej ini pun hanya nak cakap je. Langsung tidak minta maaf dengan saya sebab pernah buat yang tidak sepatutnya.
“Paksa saya bagi gambar macam-macam, bodohnya saya ikut,” katanya di Mahkamah Majistret, hari ini.
Malah, saksi memberitahu bahawa apabila dia mendengar ceramah Ebit, dia memang tidak sangka sangat Ebit sudah buat macam begitu dengannya.
“Mungkin pasal saya perempuan dan tidak biasa buat macam itu jadi saya teringat-ingat dan sakit hati, rasa sangat berdosa…yang sangat sedihnya, dia bawa saya buat macam itu, terus buat tidak tahu sahaja.
“Tidak apa jika minta maaf dan kita dengan haluan masing-masing. Saya kalau ikut sudah tidak mahu langsung mesej atau Whatsapp sebab mahu elak benda yang tidak baik tapi mahu juga luah,” katanya.
Menurut saksi, dia rasa sangat menyesal, kalau dahulu Ebit menjadi idola dan suka tengok buat kerja itu ini. Sekarang kalau boleh, tidak mahu tengok, sedih kenapa idola itu membawa jadi pendosa.
Pengadu tersebut membaca mesej tersebut selepas memberi keterangan mengenai gambar tangkap layar ke-392 yang memperlihatkan pengadu membalas Whatsapp Ebit dengan menyatakan dia bersyukur sempat melakukan tangkap layar gambar, termasuk yang ada muka Ebit.
“Saya tidak juga jahat tapi sebab cara ustaz buat orang sakit hati, buat macam saya ni pelacur. Tidak apalah supaya jadi pengajaran, tak nampak baik di depan sahaja. Kalau ikut suami memang dia tidak. Tapi cara ustaz ni sakitkan hati orang,” katanya.
Semasa mahkamah membenarkan pengadu membaca mesej yang dihantar melalui akaun Instagram pengadu, mahkamah turut mengarahkan agar mesej berkenaan ditunjukkan kepada tertuduh dan barisan peguam yang mewakili Ebit.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Timothy Daut. – UTUSAN